Lima pasukan buru juara Lantai Cilik 3

Pasukan Seri Melati dari  Johor yang akan beradu dengan empat pasukan lain bagi merebut gelaran  jua

Pasukan Seri Melati dari Johor yang akan beradu dengan empat pasukan lain bagi merebut gelaran juara pertandingan tarian Lantai Cilik di Kompleks JKKN, Melaka.

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam satu kenyataan berkata, lima kumpulan yang berjaya melangkah ke peringkat akhir adalah Pratama Family dari Sabah; Seri Melati (Johor); Sutra Dana Dancers (Sarawak); Galang Maya (Selangor) dan Ekatari (Putrajaya).

Menurut kenyataan itu, malam Kemuncak LC3 menampilkan kelainan dengan membawakan konsep Bahtera Merdeka yang memaparkan kegemilangan anak-anak merdeka belayar mencari pewaris seni tradisi.

“Dalam segmen pertama, setiap kumpulan dikehendaki mempersembahkan kisah pahlawan atau srikandi hasil petikan babak daripada ceritera rakyat dalam masa tiga minit.

“Pada segmen kedua, mereka ditugaskan membuat persembahan tarian berdasarkan lagu-lagu rakyat dan permainan tradisional dengan menggunakan prop produk kraf tempatan seperti kukur kelapa, terompah, dulang, tudung saji, gasing atau apa sahaja kraf tempatan yang bersesuaian dalam tiga minit,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Juara LC3 bakal menerima wang tunai RM50,000, naib juara (RM30,000), ketiga (RM10,000), saguhati (RM5,000) manakala pemenang Kostum Terbaik bakal membawa pulang RM3,000 berserta trofi dan sijil.

Menurut kenyataan itu, Ketua Pengarah JKKN Melaka, Zulkarnain Ramli akan bertindak sebagai ketua juri dan akan dibantu oleh tiga juri tetap seperti Arja Lee, Juhara Ayub dan Vanida Imran.

“Malam kemuncak LC3 akan diadakan di Kompleks JKKN Melaka dan akan menampilkan artis undangan seperti Kaka Azraff, ratu rock Ella, Permata Seni Tari dan kumpulan Kesenian JKKN,” kata kenyataan itu.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/lima-pasukan-buru-juara-lantai-...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, September 17, 2015
Kemas kini terakhir: 22 October 2019, 10:09am
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN