Lima budak gasing juara

Klang: Minat terhadap permainan tradisional gasing membawa tuah kepada kumpulan dianggotai lima kanak-kanak dari Johor apabila dinobatkan juara My Gasing Championship 2014 di sini, semalam.

Wakil pasukan itu Hairul Anuar Osman, 10, berkata, kemenangan itu hasil usaha kumpulan itu yang tidak jemu menghadiri latihan bermain gasing sepanjang cuti sekolah.

 

“Kami ditemukan dalam Persatuan Gasing Negeri Johor melalui Sharul Salleh dan belajar cara bermain gasing dengan betul dan ini pertandingan pertama yang kami sertai dan tidak sangka menjadi juara menewaskan pencabar dari negeri lain memandangkan mereka semua hebat,” katanya ketika ditemui.

Katanya, selain dapat mengisi masa lapang pada cuti sekolah, latihan diadakan turut memberi peluang kepada mereka untuk mendalami teknik bermain gasing dengan betul.

 

Menurutnya, jika kanak-kanak seusianya lebih minat bermain gajet, namun mereka memilih mendalami ilmu permainan gasing kerana teruja menguasai permainan tradisional itu.

 

“Kami lebih minat bermain gasing kerana ia satu daripada permainan yang semakin dilupakan. Jika bukan kami yang meneruskan permainan tradisi ini, mungkin ia akan hilang ditelan arus teknologi.

 

“Kemenangan ini meningkatkan lagi semangat kami untuk menguasai permainan ini sekali gus menaikkan semula permainan ini dalam kalangan generasi muda,” katanya.

 

Juara kategori dewasa dan remaja menerima wang tunai RM5,000 serta piala manakala naib johan membawa pulang RM4,000 dan RM3,000 untuk pemenang ketiga.

 

Bagi juara kategori kanak-kanak membawa pulang RM3,000 serta piala manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM2,000 dan RM1,000.

 

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli berkata, program anjuran bersama Persatuan Gasing Malaysia (PEGAMA) itu bertujuan mendekatkan permainan tradisional kepada masyarakat terutama generasi muda yang tinggal di kawasan bandar.

 

“Dengan kehadiran pelbagai gajet berteknologi kini, kita tidak mahu anak muda buta tradisi atau tidak tahu cara permainan tradisional. Saya pasti mereka pernah dengar permainan gasing tetapi tidak semua tahu cara permainannya.

 

“Penganjuran ini dapat menarik mereka lebih mengenali cara permainan tradisional ini, tambahan pula kita sudah melakukan transformasi terhadap gasing menggunakan bahan polimer,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/18146#sthash.myCMc5qA.dpuf

Author: 
Icka S Hassan
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, December 22, 2014