Lantai Cilik 3 program terbaik JKKN

 
Lantai Cilik 3 program terbaik JKKN

SEBAGAI penanda aras kepada usaha penggemblengan bakat kanak-kanak, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) meneruskan lagi program Bimbingan Seni Budaya.

Sehingga hari ini, program teras di bawah JKKN ini melatih lebih 20,000 kanak-kanak dalam bidang seni sejak 2002.

Salah satunya melalui program pencarian yang mencungkil bakat kanak-kanak dalam seni tarian, Lantai Cilik yang kini sudah pun memasuki musim ketiga.

Baharu saja menutup tirainya, Lantai Cilik musim ke-3 yang mendapat kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM), JKKN dan Kementerian Pendidikan terbukti berjaya menjadi platform buat pelajar sekolah rendah.

Pentas akhir mengetengahkan konsep mitos dan lagenda serta diadili Zulkarnain Ramly, Arja Lee, Juhara Ayub, Vanidah Imran, Yusof Abd Rashid dan Rykal Iskandar .

Persembahan terbahagi kepada dua segmen iaitu segmen Kreasi di mana peserta mempersembahkan tarian kisah pahlawan atau srikandi petikan babak daripada cerita rakyat tempatan sama ada ia cerita berunsur lagenda, mitos, epik, jenaka mahupun dongeng.

Segmen kedua pula menampilkan konsep tarian tradisional dan peserta dikehendaki membuat tarian rakyat (karya baharu) berdasarkan lagu rakyat dan prop tempatan.

Penerbit program RTM, Sarena Mohd Salleh memberitahu, program realiti itu merupakan yang pertama membawa bakat kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun dalam mencari formasi harmoni dalam tarian.

"Selepas tiga musim, apa yang kita dapati kelincahan mereka ketika menari cukup ligat dan sudah setanding penari dewasa.

"Malah, bagi musim ini, pesertanya juga dilihat lebih bersedia dan berlakunya peningkatan dalam gerak asas tarian,” katanya.

Meskipun perjalanan pentas kucar-kacir, namun ia dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Tidak cukup dengan itu, ada juga mempersoalkan pemilihan Rayqal sebagai juri memandangkan seni tarian bukanlah bidang utama pelakon cilik berkenaan.

"Kami memilih Rayqal atas kapasiti sebagai kanak-kanak popular. Kami beranggapan tidak adil sekiranya setiap peserta ini hanya diadili oleh mereka yang dewasa.

"Bagaimanapun, dia hanyalah juri jemputan dan pemarkahan dari sudut pukulan rebana pula sekadar bonus bagi setiap peserta," katanya.

Tambahnya lagi, Lantai Cilik musim ke-3 juga menjadi platform terbaik bagi membina dan menyemai benih cintakan seni budaya tradisi dalam kalangan generasi awal kanak-kanak.

Seri Melati bolot RM53,000

Percubaan kali kedua Kumpulan Seri Melati akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan Juara Lantai Cilik musim ke-3.

Tidak hanya bergelar juara, pasukan dari Sekolah Kebangsaan Seri Melati, Johor itu turut meraih kemenangan berganda apabila muncul sebagai pemenang Kostum Terbaik. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan mereka memenangi wang tunai RM53,000 berserta trofi dan sijil.

Koreografer Kumpulan Seri Melati, Z’nudein Arbun memberitahu, kemenangan itu membawa pengertian bermakna bagi kumpulan tersebut.

Tambahan pula, katanya, ini adalah percubaan kali kedua selepas tewas pada peringkat suku akhir pada musim lalu.

"Alhamdulillah, ini kemenangan tidak dijangka. Lagi pula, kali ini, penyertaannya terdiri daripada murid-murid baharu berusia 9 hingga 11 tahun. Malah, persembahan tarian kami juga sentiasa berubah termasuklah beberapa jam sebelum pertandingan.

"Namun, kami bernasib baik kerana mereka jenis cepat belajar menerusi latihan yang diperuntukkan," katanya.

Mengimbas kembali, kumpulan Seri Melati mempersembahkan Pelayaran Opu 5 Bersaudara dalam segmen pertama yang bertemakan Tarian Kreasi dan persembahan Yeahh... Korban Datang Lagi yang diinspirasikan daripada medley lagu rakyat Negeri Sembilan menerusi segmen kedua, Tarian Rakyat.

Lebih menarik, katanya, tarian tradisional mereka juga diserikan dengan penggunaan prop daripada kraf tempatan seperti kukur kelapa, dulang, terompah, tudung saji, congkak, gasing dan songket.

Pada masa sama, Z’nudein turut berterima kasih kepada kerajaan Johor di atas bantuan dan sokongan yang diberikan.

"Kemenangan ini kami hadiahkan kepada semua masyarakat Johor. Ini adalah satu kejayaan lain yang dicipta selain muncul sebagai juara dalam Festival Zapin sejak ditubuhkan pada 1999," katanya.

Pun begitu, pasukan ini tidak berhasrat menyertai Lantai Cilik musim depan bagi memberi peluang kepada pasukan lain menyerlahkan bakat.

Mengekori rapat dari belakang ialah Kumpulan Ekatari yang terpaksa berpuas hati berada di tempat kedua sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 beserta trofi dan sijil.

Bersyukur di atas pencapaian tersebut, pasukan dari Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) bagaimanapun menganggap kejayaan itu adalah yang terbaik bagi mereka.

Guru Penyelaras Kumpulan Ekatari, Jamilah Mat Zain memberitahu, ia adalah percubaan sulung daripada kumpulan sekolah kluster tradisional kebudayaan.

"Ahli-ahli kumpulan Ekatari ini telah pun dikumpulkan sejak dari tahun lalu. Kebanyakannya terdiri daripada murid-murid darjah satu, dua dan tiga. Alhamdulillah, walaupun mereka ini kecil, tapi mereka dapat melakukannya dengan baik sekali," katanya.

Pasukan itu menampilkan gerak tari bertenaga menerusi Tarian Alamat dan Tarian Emok-mok.

"Saya guru pendidikan seni visual dan seni tari bukanlah bidang utama saya. Tetapi, kami sangat bertuah apabila dibantu oleh koreografer, Khairul Anuar Zainuddin.

"Kami bersama memerah dan berkongsi idea agar dapat menjayakannya," katanya.

Tempat ketiga pula dimenangi Kumpulan Pratama Family dari Kota Kinabalu, Sabah yang tampil dengan Tarian Tandawa Arung Salamiah (Srikandi Arung Salamiah) dan Tarian Patendu Patende  sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 beserta trofi dan sijil.

Author: 
NORHIDAYYU ZAINAL
Akhbar: 
Media Hiburan
Publish date: 
Monday, October 5, 2015