Kraf tangan Sarawak mampu tembusi pasaran luar

BINTULU: Industri kraf tangan di Sarawak mampu berkembang di pasaran dalam serta luar negara kerana memiliki kualiti termasuk keindahan pembuatan berbeza berbanding negara luar.

Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip berkata, kraf tangan di negara ini mempunyai mutu dan nilai tinggi mampu menarik minat orang luar membelinya.

Katanya, pembuatan kraf tangan terutamanya di Sarawak berbeza menjadikan nilainya begitu tinggi.

“Disebabkan itu saya mengesyorkan jabatan dan agensi kerajaan menjadikan kraf tangan sebagai barangan boleh dijadi hadiah dan buah tangan orang negara luar,”  katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak berkata demikian semasa berucap merasmikan penubuhan Persatuan Pengusaha Kraftangan Malaysia Borneo dan penutupan Festival Kraf Sarawak di Dataran Esplaned semalam.

Hadir sama Pengerusi Persatuan Pengusaha Kraftangan Malaysia Borneo, Victoria Mujan; Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu, Zaiedy Nor Abu Nasir; Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Sarawak merangkap Pegawai Bahagian Promosi Kraftangan Malaysia Sarawak, Mohd Hafiz Mohd Hashim dan tetamu lain.

Talib juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berkata, jika hadiah atau buah tangan diberi sama seperti terdapat di negara lain, ia mungkin tidak begitu dihargai.

“Ia ibarat anda membeli buah tangan itu dengan harga mahal di sini untuk dijadikan hadiah kepada orang luar tetapi di negara yang sama itu dijual dengan harga murah, jadi nilai penerimaannya jadi lain,” jelasnya.

Begitupun, katanya, apabila mereka melihat kraf tangan diberi itu sebagai hadiah, mereka akan melihat nilainya begitu tinggi dan berbeza disebabkan ia sukar diperolehi di negara mereka.

Justeru, beliau mengulangi gesaan supaya kementerian tertentu dan jabatan kerajaan mengguna produk kraf tangan di negara ini sebagai buah tangan untuk membantu memperkembang pasaran dan mendatangkan hasil kepada pengusahanya.

“Kita harus berbangga dengan produk kraf tangan kita yang berkualiti, cantik dan harga ditawar berpatutan,” ujarnya sambil berharap lebih ramai pelancong akan datang ke negara ini dan membeli kraf tangan pengusaha tempatan.

Mengenai permintaan menyediakan satu tempat dan sebuah bangunan menempatkan produk kraf tangan di negeri ini katanya, beliau tidak mahu berjanji tetapi kerjasama  pengusaha, Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan SEDC untuk mencari jalan bagi menerus usaha mempromosi dan mengembang pasaran kraf tangan di negeri ini adalah perlu.

“Apa yang saya harap, teruskan perniagaan kraf tangan. Saya akan berusaha untuk mempromosikan produk tempatan ini,” katanya yang turut berbelanja membeli pelbagai jenis produk kraf tangan semasa melawat gerai pengusaha kraf tangan semalam.

Festival Kraf Sarawak 2015 adalah anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayan Negeri Sarawak, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara serta Jabatan Arkib Negara Cawangan Sarawak.

Festival itu diadakan selama 10 hari bermula 27 November dan berakhir 6 Disember yang disertai oleh 78 pengusaha kraf tangan termasuk usahawan-usahawan.

Read more: http://www.theborneopost.com/2015/12/06/kraf-tangan-swak-mampu-tembusi-pasaran-luar/#ixzz3uRTHwFRf

Akhbar: 
The Borneo Post
Publish date: 
Sunday, December 6, 2015