Konsert No Wrong Notes

(Syafinaz Selamat menjanjikan sebuah persembahan yang unik dan harmoni pada Konsert No Wrong Notes.)

Arena muzik koral atau koir, memang sudah lama bertapak terutamanya di sekolah-sekolah dan institut pengajian tinggi. Tetapi sebahagian masyarakat kita masih kurang arif berkaitan muzik berkenaan terutama keunikan dan keharmonian paduan suara yang terhasil daripadanya.

 

Koir boleh diertikan sebagai sebuah kumpulan yang melibatkan dua atau lebih penyanyi yang menyanyi bersama secara harmoni. Ia mengandungi empat lingkungan suara iaitu soprano, alto, tenor dan bes.

 

Persembahan koir bukanlah sebuah persembahan yang semata-mata melibatkan ramai orang. Tetapi ia sebenarnya adalah wadah hiburan yang kreatif, bernilai tinggi, serius dan juga intelektual.

 

Menyedari usaha untuk memperkenalkan muzik koir perlu digerakkan secara berterusan, pihak Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bakal menganjurkan konsert bertajuk No Wrong Notes.

 

Konsert yang mengenengahkan tema jazz dan latin itu bakal berlangsung hari ini dan esok di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bermula pukul 8.30 malam.

 

Pengarah Vokal konsert tersebut, Syafinaz Selamat berkata, ia adalah sebahagian daripada aktiviti seni akhir tahun anjuran JKKN.

 

"Konsert ini bakal menyaksikan gabungan Koir Kebangsaan dan Koir Remaja Kebangsaan yang melibatkan 53 orang penyanyi.

 

"Ini adalah suatu yang unik kerana keharmonian suara yang terhasil daripada 53 peserta ini serta elemen jazz dan latin yang dipersembahkan dalam bentuk koir adalah sesuatu yang jarang dilakukan.

 

"Cabaran pastilah dalam mencari keharmonian dan menyesuaikan suara setiap penyanyi. Kerana 53 orang yang menyanyi serentak adalah suatu jumlah yang besar berbanding persembahan yang melibatkan hanya empat atau lima orang," ujarnya

 

Dalam konsert tersebut, penonton bakal menyaksikan persembahan 18 buah lagu dari klasik Melayu sehinggalah kepada lagu-lagu popular kini yang digubah dengan elemen jazz dan latin.

 

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan secara koir adalah Gema RembulanAsmara,SambariaDan SebenarnyaSenyumThe Pink Panther dan Kiss From A Rose.

 

Syafinaz yang kini dalam proses menerbitkan album baru berkata, orang ramai selalu beranggapan bahawa muzik koir hanya melibatkan lagu-lagu klasik dan berbentuk patriotik tetapi sebenarnya bukan begitu.

 

"Konsert ini bakal mengubah persepsi umum masyarakat terhadap muzik koir. Kami menggunakan pelbagai lagu popular tetapi ia masih mengekalkan kualiti dan ciri-ciri muzik koir.

 

"Antara sebab mengapa kami memilih lagu-lagu tersebut kerana ia adalah antara lagu yang diminati ramai. Pastinya peminat lagu tersebt juga ingin mendengar ia didendangkan secara koir dan diubah dengan elemen yang berbeza daripada yang asal," katanya.

 

Konsert ini akan dibahagikan kepada tiga sesi. Sesi pertama adalah persembahan daripada Koir Kebangsaan Malaysia dan sesi kedua bakal menampilkan artis undangan iaitu Salamiah Hassan yang dikenali dengan lagu-lagu seperti Menghitung HariGelombang dan Surat Terakhir.

 

Manakala pada sesi terakhir, penonton bakal kembali dihiburkan dengan persembahan oleh kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang dipimpin oleh Mohd. Amri Mohd. Zin selaku konduktor manakala Tunku Marina Tunku Zubir sebagai Pengarah Koir.

 

Tiket bagi menyaksikan konsert ini berharga RM10 bagi seorang dan mereka yang berminat, boleh hubungi nombor  014-2318303 atau  03-20523600 sambungan 3762 atau 3724.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, November 25, 2011