Konsert In love With Rock Buah tangan baharu Koir Kebangsaan Malaysia

Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia akan menganjurkan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock yang akan diadakan pada 5 dan 6 Disember ini di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan, Jalan Ampang.

Konsert ini merupakan buah tangan baharu Koir Kebangsaan Malaysia, selepas cemerlang dalam penglibatan di 4th Bali International Choir Festival anjuran Bandung Choral Society dengan kerjasama International Federation for Choral Music (IFCM), yang telah diadakan pada 29 Julai hingga 2 Ogos 2015 di Sanur Paradise Plaza Hotel, Bali, Indonesia.

Dalam festival tersebut, Koir Kebangsaan Malaysia telah mengharumkan nama negara selepas memenangi tiga pingat emas dan merupakan juara bagi kategori Vokal Berkumpulan, Kategori Koir Campuran dan Championship Kategori Berkumpulan serta layak ke Grand Prix 4th Bali International Choir Festival bersama dua belas kumpulan lain dari 128 penyertaan.

Konsert ini yang juga merupakan antara inisiatif JKKN dalam usaha menyediakan peluang kepada para karyawan muzik mempersembahkan karya terbaik mereka kepada masyarakat.

Dalam kerancakan pelbagai pihak luar menganjurkan pelbagai konsert artis luar, JKKN sebaliknya mengiktiraf bakat–bakat tanahair dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu untuk dikongsi dan dihayati

Program ini merupakan satu lagi usaha JKKN dalam menyemarakkan industri seni suara tanahair.

Konsert ini juga merupakan kesinambungan daripada kejayaan beberapa siri konsert oleh kumpulan Koir Kebangsaan Malaysia yang telah dilaksanakan oleh JKKN sejak tahun 2005. Antaranya Konsert Music Makers (2010), Konsert In Love With Peace (Cintakan Kedamaian) yang telah diadakan pada tahun 2009 dan 2011, Konsert No Wrong Notes (2011), Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2009 dan 2012) dan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film).

IN LOVE WITH ROCK

Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock ini akan menampilkan lagu–lagu rock popular dari era 50-an sehingga kini yang merangkumi rangkaian lagu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, tamil dan Kantonis sekali gus mencabar kreativiti koir.

Menariknya pada konsert kali ini, Koir Kebangsaan Malaysia akan diuji dengan disiplin nyanyian yang lebih mencabar dan mengguji kemampuan kumpulan ini dalam mengalunkan vokal harmoni mereka menerusi 26 buah lagu rock, seterusnya menghasilkan persembahan yang berkualiti.

Menjanjikan kelainan, konsert ini turut menampilkan pergerakan, lakonan dan lontaran suara ahli koir ketika persembahan.

Program ini merupakan platform bagi bakat-bakat muda dalam bidang seni suara mengembangkan sayap mereka ke peringkat global selaras dengan perkembangan arus muzik semasa tanpa meminggirkan keaslian kumpulan koir itu sendiri

- See more at: http://www.utusan.com.my/hiburan/konsert-i-in-love-with-rock-i-1.165067#...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, December 3, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN