Konsert Koir Kebangsaan: Tema klasikal mengagumkan

Konsert Koir Kebangsaan bertemakan klasikal atau Classique berlangsung dua hari berturut-turut di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hujung ming­gu lalu ternyata sebuah persembahan yang berjaya.

Meskipun ada yang skeptikal apakah percaturan Koir Kebangsaan Malaysia berjaya seperti tahun sebelumnya apabila memperkenalkan tema klasikal ternyata ia percubaan yang mengagumkan. 

Dengan memperkenalkan tema itu, penonton secara tidak langsung lebih menghargai nyanyian koir yang mengaplikasikan tek­nik vokal tanpa dipe­ngaruhi elemen lain. 



Dibahagikan kepada dua segmen, konsert anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membawa penonton mengimbas kembali repertoire lagu Klasik Barat bermula dari era Renaissance hingga era romantik.

Foto

 



Antara yang diperde­ngarkan ialah Matona Mia Cara, Shivering Chorus, Weep You No More Sad Fountains dan Funiculi Funicula.



Segmen kedua diteruskan pula dengan klasik Melayu bernuansakan irama asli, inang, joget, keroncong serta zapin seperti Dia Datang, Sayang Di Sayang, Ketawalah Lagi, Joget Lambak, Inang Tua dan Masri Manis terus memukau hadirin. 



Pakaian kumpulan koir juga menarik dan lari daripada kebiasaan iaitu secara beragam apabila kostum yang diperaga bersesuaian dua segmen pada malam itu. Dari gaya Barat menerusi gaun labuh dan tuksedo, penyanyi koir segak bergaya dengan baju kurung serta baju Melayu. 



Menurut Syafinaz yang bertindak sebagai jurulatih vokal, pengarah per­sembahan dan vokal serta dibantu Pengarah Koir Kebangsaan Tunku Marina Tunku Zubir, konsert kali ini mahu penonton lebih menghargai vokal. 



“Kalau orang tak menghargai koir klasikal, kita tak ada inisiatif menghidupkannya semula. Umpamanya budaya akan terus pupus kalau kita berfikiran sebegitu. Kita perlu disedarkan klasikal tidak boring dan kalau tepat pemilihan lagu, ia akan jadi berwarna serta menghiburkan,” katanya. 



Kata Syafinaz, konsert ini juga mahu mengangkat irama tradisional di Malaysia dalam bentuk koir. 



“Ia berbalik kepada konsert asal koir yang lebih teknikal dan terarah kepada tumpuan penggunaan vokal seperti nada suara, keseimbangan dinamik. Ada persembahan solo, trio, kuartet dan beramai-ramai menerusi kumpulan kecil. Dari situ kita dapat melihat keharmonian vokal,” katanya. 



Konsert kali ini yang meneruskan kesinambungan konsert terdahulu yang dilaksanakan JKKN sejak 2005 seperti Konsert Dir... Koir Kebangsaan Malaysia (2012), Konsert No Wrong Notes (2011) dan Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) tidak akan menjemukan penonton yang hadir.

 

Author: 
Norhadiani Baharom
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Wednesday, September 24, 2014