Konsert Khas Bintang Asli Remaja Kebangsaan Bakal Berlangsung Tahun Depan

Kuala Lumpur - Konsert Khas Bintang Asli Remaja Kebangsaan akan dilangsungkan tahun depan di mana kesemua bekas juara Bintang Asli Remaja Kebangsaan sejak mula dianjurkan pada 1996 akan dihimpunkan. 

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli, konsert tersebut diadakan sempena Tahun Festival Malaysia 2015 dan ia merupakan salah satu landasan bagi mempromosikan lagu berentak asli sekaligus memastikan lagu asli dihargai setiap lapisan masyarakat. 

“Konsert itu diharap dapat mencetus minat golongan belia terhadap lagu asli yang melambangkan identiti dan budaya bangsa,” katanya dalam sidang media pengumuman peserta pertandingan akhir Bintang Asli Remaja kebangsaan 2014 di ibu negara. 

Pertandingan yang akan diadakan menerusi siaran secara langsung di TV2 pada 18 Oktober bakal menguji kemampuan 12 peserta remaja mengalunkan lagu berentak asli dengan baik.

Akhbar: 
Berita RTM
Publish date: 
Saturday, October 11, 2014