Konsert Cinta Kedamaian Mampu Lahir Generasi Bertamadun Dalam Seni

SHAH ALAM, 9 April (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kerjasama di antara kementerian itu dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam Konsert Jelajah Koir Kebangsaan adalah penting ke arah melahirkan generasi bertamadun dalam seni dan kebudayaan.

Beliau berkata konsert seumpama itu yang merupakan hasil kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan UiTM dapat membawa pentas penilaian terhadap budi bahasa dan nilai murni yang seharusnya ditanam dalam semangat dan perjuangan hidup generasi muda.

Beliau berkata demikian dalam rakaman montaj perutusannya sempena perasmian Konsert Jelajah Koir Kebangsaan IPTA "Cintakan Kedamaian" di Dewan Agong Tuanku Canselor UiTM di sini.

Pelancaran konsert itu disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf bersama-sama Penolong Naib Canselor UiTM Prof Dr Ahmad Redzuan Abd Rahman dan Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli.

Konsert di UiTM itu adalah yang pertama dalam siri jelajah Koir Kebangsaan di institusi pengajian tinggi yang bertemakan "Cintakan Kedamaian" pada tahun ini di Lembah Klang.

Koir Kebangsaan akan membuat persembahan berikutnya di Universiti Malaya pada 7 Mei diikuti Universiti Kebangsaan Malaysia pada 13 Mei.

Akhbar: 
Bernama
Publish date: 
Sunday, April 10, 2011