Kolaborasi hebat dua koir

JARANG rasanya peminat muzik di negara ini dihidangkan dengan persembahan yang menggabungkan koir dan vokal harmoni, apatah lagi ia dipersembahkan oleh Koir Kebangsaan.

 

Bukan sekadar menyajikan satu kelainan tetapi usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menganjurkan Konsert No Wrong Notes memang layak dipuji.

 

Baru-baru ini, apabila Konsert No Wrong Notes diadakan selama dua hari berturut-turut, ia berjaya mendapat sambutan memberangsangkan di kalangan peminat muzik tempatan.

 

Dibimbing oleh Mohd. Amri Mohd. Zain sebagai konduktor muzik, persembahan Koir Kebangsaan yang bergabung dengan Koir Remaja Kebangsaan langsung tidak mengecewakan.

 

Dendangan 18 buah lagu yang disusun semula mengikut rentak jazz dan latin, termasuk laguGema RembulanAsmaraSambariaDan SebenarnyaSenyumThe Pink Panther dan Kiss From A Rose disampaikan dengan penuh penghayatan oleh anggota kumpulan Koir Kebangsaan dan Koir Remaja Kebangsaan.

 

Turut mengiringi kumpulan koir seramai 53 orang ahli ialah tujuh pemuzik akustik.

 

Bagi Pengarah Vokal konsert tersebut, Syafinaz Selamat, dia berpuas hati dengan persembahan anak-anak didiknya sepanjang konsert itu berlangsung.

 

"Bukan mudah untuk kami menyampaikan persembahan begini dengan keadaan dewan yang kurang sesuai untuk persembahan koir.

 

"Bagaimanapun kekurangan itu dapat dilalui dengan baik dan buktinya, lihatlah kehadiran penonton yang ramai pada malam ini," katanya ketika ditemui usai persembahan yang diadakan di Auditorium Dewan Bandar raya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja laut, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

 

Syafinaz berkata, melihatkan kepada persembahan anak-anak didiknya, dia berharap agar diberikan peluang kepada Koir Kebangsaan dan Remaja beraksi di luar negara pula.

 

"Memang mereka ternanti-nantikan peluang seperti itu namun menyedari hakikat bukan mudah untuk membawa koir kita keluar tanpa dana yang mencukupi.

 

"Terus terang saya katakan bahawa jika ada bantuan dana, tidak mustahil koir kita boleh memukau di luar negara,' katanya bersungguh.

 

Konsert No Wrong Notes turut dimeriahkan dengan persembahan Salamiah Hassan, penyanyi cilik Muhammad Nabil Nufail Norazman serta kumpulan Putera.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, December 5, 2011