Koir 'rock' di MATIC

Sebanyak 26 lagu rock akan digubah dan dinyanyikan Koir Kebangsaan Malaysia (KKM) dalam Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur pada 5 dan 6 Disember ini bermula jam 8.30 malam.

Konsert anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia ini adalah buah tangan terbaru KKM selepas cemerlang dalam Festival Koir Antarabangsa Bali ke-4 di Bali, Indonesia, pada 29 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Dalam festival itu, KKM berjaya mengharumkan nama negara selepas memenangi tiga pingat emas dan juara bagi kategori Vokal Berkumpulan, Koir Campuran dan Kategori Berkumpulan.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: In Love With Rock antara inisiatif JKKN bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dalam usaha menyediakan peluang kepada karyawan muzik untuk mempersembahkan karya terbaik kepada masyarakat.

“Dalam kerancakan banyak pihak menganjurkan pelbagai konsert artis luar, JKKN sebaliknya mengiktiraf bakat tanah air dengan menyediakan landasan untuk mereka mempersembahkan hasil karya bermutu. Program ini satu lagi usaha JKKN dalam menyemarakkan industri seni suara tanah air,” katanya.

Menurutnya, ia juga kesinambungan daripada kejayaan beberapa siri konsert KKM anjuran JKKN sejak 2005 antaranya Konsert Music Makers (2010), Konsert In Love With Peace (Cintakan Kedamaian) pada 2009 dan 2011, Konsert Koir Kebangsaan Malaysia: Kembara Muzikal Teater & Filem (A Musical Journey of Theatre & Film) pada 2013 dan Konsert Classique (2014).

“Kita akan memaparkan lagu rock popular dari era 1950-an hinggalah sekarang merangkumi lagu dalam bahasa Malaysia, Inggeris, Kantonis dan Tamil, sekali gus mencabar kreativiti kumpulan koir itu,” katanya.

Antara lagu yang akan dipersembahkan ialah Bring Me To Life (penyanyi asal Evanescence), Hysteria (Muse), Malaysian Rock Legends Isabella/Fantasia Bulan Madu/Layar Impian/Hukum Karma (Search/ Ella/Wings), medley More Than Words & Warisan Wanita Terakhir (Extreme/Teacher’s Pet), Itu Kamu (Estranged), Lagu Untukmu (Meet Uncle Hussein), Andaiku Bercinta Lagi (Mojo), medley Everything I Do (I Do It For You)/I Don’t Wanna Miss A Thing/I Hate Myself For Loving You/Rock You Like A Hurricane (Bryan Adams/Aerosmith/Joan Jett/Scorpions), Mewangi (Akim & The Majistret), Nakal (Gigi), Sedang Ingin Bercinta (Dewa 19), Bohemian Rhapsody (Queen), Radioactive (Imagine Dragon), medley rock & roll dan rock klasik Come Together/Jailhouse Rock, Rock Around The Clock’ (The Beatles & Elvis Presley), We Will Rock You (Queen) dan Smells Like Teen Spirit (Nirvana).

Norliza berkata, dalam konsert ini KKM akan diuji dengan disiplin nyanyian lebih mencabar dan menguji kemampuan mereka.

Ia turut menampilkan pergerakan, lakonan dan lontaran suara anggota KKM ketika persembahan.

Maklumat mengenai tiket, sila layari laman web airasiaredtix.com.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96657#sthash.NGmFMHCS.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, November 23, 2015