Keunikan Opera Cina

PEMINAT seni teater sudah biasa dihidangkan dengan teater moden dan tradisional.

Namun, di sebalik karya-karya tradisional yang diangkat, masih terdapat karya yang berbeza khususnya daripada aspek genre itu sendiri.

Kerana itu, dalam mempelbagaikan teater tradisional, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) membawakan Opera Cina: Judge Bao vs. Chen Shimei sempena siri panggung seni tradisional baru-baru ini.

Opera ini telah dipentaskan oleh Persatuan Opera Cina Kim Giak Low Choon dari Pulau Pinang.

Bercerita mengenai pementasan karya tradisional ini, walaupun ianya berasaskan budaya masyarakat Cina, namun ia masih mendapat sambutan hebat daripada penonton.

Boleh dikatakan ia sebuah karya yang unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri sementelah hikayat Hakim Bao dan Chen Shimei yang merupakan salah sebuah kisah klasik rakyat Cina dalam repertoir Opera Cina jarang dipaparkan kepada masyarakat setempat.

Judge Bao vs. Chen Shimei, mengisahkan mengenai seorang lelaki bernama Bao Zheng atau lebih dikenali sebagai Hakim Bao yang terkenal sebagai seorang hakim yang adil, jujur dan bijaksana.

Selain watak Hakim Bao, dua lagi watak utama dalam hikayat ini ialah Qin Xianglian dan Chen Shimei.

Menarik mengenai pementasan ini, penonton dapat merasai pengalaman baharu mengenai karya seumpama itu.

Karakter menyerlah

Menerusi setiap babak yang dipentaskan, setiap pelakon punya karakter tersendiri.

Malah, boleh dikatakan mereka berjaya menampilkan peranan atau menghidupkan watak masing-masing dengan begitu menyerlah.

Teraju utamanya Toh Ah Hock yang memainkan peranan sebagai Hakim Bao benar-benar menjiwai watak dengan baik.

Setiap lontaran dialognya juga membuatkan penonton berasa hidup di zaman tersebut.

Begitu juga Teh Leong Keng yang menjadi Chen Shimei, boleh dikatakan gaya dan lakonannya cukup bersahaja.

Menariknya, kedua-dua teraju utama tersebut berjaya menjadikan pementasan tersebut hidup dan berkesan.

Bercakap mengenai peranan masing-masing, keduanya mengakui perlu melakukan kerja keras supaya tidak kelihatan kekok di mata penonton.

"Walaupun penonton ada di kalangan masyarakat lain, tetapi kami perlu pastikan lakonan kami berhasil.

"Tidak semua tahu mengenai hikayat ini tetapi mereka yang mengetahuinya pasti akan mempertikaikan jika mesej yang hendak disampaikan tidak realistik di mata mereka," kata Leong Keng.

Dalam pada itu, pengarahnya Goh Hooi Ling juga berpuas hati dengan setiap pelakon dan krew yang menjayakan pementasan tersebut.

Mengakui teruja melakukan persembahan di bawah siri panggung seni tradisional JKKN, katanya, peluang tersebut merupakan inisiatif bagi mereka untuk dikenali oleh peminat karya-karya tradisional.

"Sambutan hebat dan membanggakan meyakinkan kami untuk meneruskan pementasan ini lagi," katanya.

Sedikit mengenai latar belakang Opera Cina, ia merupakan sejenis seni persembahan yang menggabungkan lakonan, muzik, nyanyian, tarian dan akrobatik.

Ia bermula pada penghujung abad ke-18 dan dikembangkan secara meluas pada pertengahan abad ke-19.

Opera Cina ini dianggap sebagai salah satu harta warisan masyarakat Cina

Author: 
Marina Sahabudin
Publish date: 
Wednesday, November 11, 2015