Kerajaan Perlis Berhasrat Jadikan Festival Kebudayaan Dan Kesenian Acara Tahunan

KANGAR, 27 Okt (Bernama) -- Kerajaan Perlis berhasrat menjadikan festival kebudayaan dan kesenian acara tahunan untuk menggalakkan penggiat seni kususnya generasi muda untuk menyemarak dan mengembangkan seni warisan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Abdul Jamil Saad berkata dengan cara itu masyarakat berpeluang mengenali tokoh-tokoh seni dan budaya selain menjadikannya acara tarikan pelancongan.

"Kerajaan negeri sedia memberi sokongan dan pengiktirafan terhadap usaha murni penggiat seni dalam menyemarakkan seni budaya sebagai pengiktirafan yang diberikan terhadap sektor pertanian," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan Anugerah Penggiat Seni Budaya Perlis 2015 kepada Mahmud Hashim yang banyak menyumbang untuk mempertahankan kesenian hadrah serta melatih anak-anak muda sebagai pelapis kesenian itu dalam satu majlis di sini, malam tadi.

Mahmud, 65, turut aktif dalam kesenian alu bunyi, teater tradisional Jikey dan mengemping, menerima wang tunai RM2,000, plak dan sijil atas usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis untuk mengiktiraf individu yang banyak memberi sumbangan dan bakti dalam mengembangkan seni budaya di Perlis.

Pengarah JKKN Perlis, Rahmat Md Noh berkata kesenian hadrah yang kebanyakannya dipelopori oleh golongan tua di kampung-kampung diberi nafas baharu oleh Kumpulan Hadrah Setia Jaya yang diketuai Mahmud.

Katanya Mahmud yang dilantik sebagai jurulatih selama setahun pada 2013 berjaya melatih dua kumpulan baharu dianggotai generasi muda di bawah program perantisan hadrah.

Mahmud turut dipilih menjadi fasilitator program perantisan teater tradisional Jikey pada tahun ini untuk memperkasa kesenian itu bagi tempoh tiga tahun sebagai persediaan untuk pementasan di Istana Budaya, kata Rahmat.

Beliau menambah JKKN sentiasa membuka pintu kepada penggiat seni berbincang dan merancang sebarang bentuk program dan aktiviti untuk dilaksanakan secara kerjasama dan menggunakan kemudahan di kompleks JKKN Perlis.

"Kalau tidak dapat membantu dari segi peruntukan, kami sedia membantu dari segi penyediaan logistik seperti tempat latihan dan penganjuran bersama aktiviti seni," katanya.

Pada majlis itu 10 orang penggiat seni dipilih menerima penghargaan 'Jasamu Dikenang' berupa hadiah wang tunai RM500 dan sijil yang disampaikan Abdul Jamil.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Perlis, Nurulhisyam Yaakob, Pengarah Bahagian Pengukuhan Seni Budaya JKKN, Mohd Sukarno Abd Wahab dan Pengarah JKKN Pulau Pinang, Mohd Rizal Ismail.

-- BERNAMA 

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Tuesday, October 27, 2015