Kepala berdarah gara-gara dilastik

MAHU mengikut kawan melastik burung tetapi akhirnya kepala sendiri yang dilastik dengan batu . Itu yang tidak dapat dilupakan oleh Rosnan Rahman sehingga hari ini malah kesan parut akibat luka tersebut masih kelihatan.
 

Mengimbau kembali kenangan itu, Rosnan yang ketika itu berusia 10 tahun mahu mengikut rakan-rakan lelaki melastik burung di hutan. Dek kerana dia kurang gagah seperti rakan yang lain, mereka enggan membenarkannya ikut serta.
 

“Waktu itu memang saya teringin ikut mereka ke dalam hutan. Tapi ada antara mereka kurang senang sebab malas nak melayan saya. Bila mereka sudah pergi saya ikut dari belakang secara sembunyi.
 

“Tak lama selepas itu saya menyorok dan buat bunyi babi. Mereka yang terkejut ketika itu terus melastik saya yang menyorok di belakang semak. Salah satu batu yang dilepaskan terkena kepala hingga berdarah,” imbaunya.
 

Sebaik sahaja pulang dari hutan, dia terus mengadu perkara itu kepada ibunya dengan harapan mendapat simpati namun sebaliknya berlaku apabila dia sendiri yang dimarahi kerana masuk hutan.
 

Menceritakan mengenai masa kecilnya, Rosnan yang juga merupakan anak bongsu daripada lima beradik ini dilahirkan pada 18 Januari 1972 di Pendang, Kedah.
 

Bapanya membuka kedai runcit kecil-kecilan dan kehidupan keluarga mereka serba sederhana.
 

“Dulu kedai kami ada televisyen yang menggunakan kuasa bateri besar sebab tiada elektrik. Tiap-tiap malam minggu orang kampung akan datang ke kedai kami untuk menonton.
 

“Waktu itulah saya mula terdedah dengan drama dan rancangan yang ada ketika itu. Selain drama Melayu saya juga akan menunggu rancangan Cumi & Ciki yang menjadi kegemaran,” ungkap pelajar Sekolah Kebangsaan Guar Kepayang, Pendang (1979-1981) ini lagi.

Pun begitu kehidupan mereka di situ tidak lama apabila mereka sekeluarga berpindah ke Pokok Sena, Kedah ketika dia berusia sembilan tahun.
 

Bertukar sekolah ke Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Samad, Pokok Sena (1982-1984), di sini bermulanya minat yang mendalam terhadap bidang seni terutamanya tarian.
 

Ketika itu, Rosnan banyak terlibat dalam persembahan tarian dan nyanyian tetapi agak kurang menyerlah dalam bidang sukan sehinggalah melanjutkan pengajian menengah di Sekolah Menengah Pokok Sena (1985-1989) sehingga tamat tingkatan lima.
 

“Memang saya tak aktif langsung bersukan. Tapi kalau menari atau menyanyi sampai ke peringkat negeri pun pernah. Walaupun begitu, saya tak pernah mengabaikan pelajaran,” imbasnya.
 

Halangan
 

MELIHATKAN keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baik, dia akhirnya melanjutkan pengajian dalam bidang Seni Bina di Politeknik Sultan Abdul Halim Muazam Shah, Jitra, Kedah pada 1990.
 

Ketika itu harapan untuk terus aktif dalam bidang seni semakin pudar memandangkan suasana di tempat tersebut lebih Islamik dan kurang menitik beratkan soal kebudayaan seperti yang diharapkan.
 

“Cuba bayangkan perasaan berkobar-kobar itu hilang sekelip mata? Di situ kesemua pelajar diterapkan nilai kerohanian sebagai asas dan kesenian agak kurang.
 

“Memang patah semangat dan saya berdiam diri tanpa sebarang aktiviti seni. Bila tamat belajar saya terus dapat kerja di sebuah firma arkitek di sana sekitar 1993.
 

“Di situlah kembalinya minat yang mendalam terhadap seni memandangkan saya menyertai Kumpulan Kesenian Negeri Kedah secara separuh masa pada waktu itu,” ujarnya.
 

Sempat menjadi penari sambilan selama tiga tahun, Rosnan pernah mewakili Kedah ke peringkat antarabangsa dan membuat persembahan di Thailand, Australia, Singapura dan Korea Selatan.
 

Pada 1995, rezekinya semakin murah apabila berpeluang melanjutkan pengajian dalam bidang yang sama di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
 

Walaupun berat hati untuk meninggalkan bidang tarian, Rosnan akur memandangkan ini merupakan peluang keemasan dan tidak semua orang mampu melakukannya.
 

Ketika bergelar mahasiswa, dia mendekatkan diri dengan unit kebudayaan dan akhirnya menjadikan tarian sebagai ‘pelajaran’ kedua sehinggalah diperkenalkan kepada seni makyung di sana.
 

“Saya masih ingat lagi ketika itu saya sekadar suka-suka melihat orang berlatih makyung. Tak sangka pula pelawaan seorang pensyarah ketika itu akhirnya membuatkan saya ‘melekat’ sehingga hari ini.
 

“Kalau tak kerana keberanian saya mencuba tak mungkin ada nama Rosnan Rahman dalam seni makyung sampai hari ini. Di situlah saya belajar sedikit demi sedikit sehinggalah mahir,” tambahnya yang berguru dengan Jumilah Tahir dan Che Mat Jusoh.
 

Semangat
 

SEBENARNYA pembabitan Rosnan dalam bidang tarian dan makyung pada awalnya dihalang keluarga. Dia masih ingat lagi bagaimana kedua-dua orang abangnya kurang berkenan dengan kehendaknya itu.
 

“Memang mereka kurang gemar saya menari sejak sekolah lagi. Sebab itu mereka mahu saya belajar dalam bidang seni bina dan bekerja sebagai seorang arkitek apabila sudah tamat pengajian.
 

“Tak dinafikan saya belajar seni bina pun sebab terpaksa. Apabila saya sudah membuktikan yang menjadi penari dan pakyung itu bukan kerja sia-sia barulah mereka menerima saya,” kata Rosnan yang kini berkhidmat di Jabatan Kesenian & Kebudayaan Negara (JKKN).
 

Bagi Rosnan pastinya darah seni yang mengalir di dalam tubuhnya diperturunkan daripada arwah neneknya, Che Semah Seman yang juga merupakan wanita yang berasal dari Pattani, Thailand yang berhijrah ke Kedah.
 

Neneknya yang juga merupakan seorang aktivis makyung ketika zaman 1930-an dan datuknya Awang Debok yang juga merupakan pemain gendang makyung.
 

“Saya tidak akan membiarkan warisan makyung luput ditelan zaman. Insya-Allah seni warisan ini yang akan saya pertahankan sampai ke akhir hayat,” ungkap Rosnan lagi.

 

Author: 
Syed Musaddad Syed Mahdi
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, December 14, 2014
Kemas kini terakhir: 04 December 2019, 08:23pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN