Kenduri asam pedas 1Malaysia

RAIS Yatim (dua dari kiri) bersama Mohd. Ali Rustam menikmati hidangan asam pedas pada Program Merakyatkan Seni dan Budaya 1Malaysia di Pengkalan Samak, Merlimau, kelmarin.

 

JASIN 20 Mac - Kebiasaannya pekarangan rumah milik sepasang suami isteri di Pengkalan Samak, Merlimau di sini meriah dengan majlis kenduri dan kegiatan gotong-royong bagi meraikan keluarga mereka, saudara mara dan penduduk sekitar kampung berkenaan.

 

Namun, keadaan sedikit istimewa baru-baru ini apabila pekarangan rumah milik Wan Syed Hashim Wan Mohammad, 63, dan isteri, Zainah Cheku, 57, menerima kunjungan hampir 1,000 tetamu pelbagai kaum sempena program Merakyatkan Seni dan Budaya 1Malaysia Melaka.

 

Tetamu yang datang pada 'Kenduri Asam Pedas' anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu bukan calang-calang orang kerana ada di kalangan mereka merupakan pemimpin berjiwa seni dan terkenal dengan caranya yang memartabatkan kebudayaan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

 

Tidak ketinggalan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang turut berkunjung bagi memeriahkan kenduri bercorak 1Malaysia itu.

 

Tanpa mengira penduduk Melayu, India dan Cina, tiada kerusi dan meja disediakan untuk para tetamu bagi menikmati hidangan itu sebaliknya mereka makan bersila termasuk tetamu kehormat iaitu Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

 

Mungkin jika dilihat pada mata kasar mereka kelihatan kekok, namun semangat 1Malaysia ternyata tidak menjadi penghalang semua masyarakat di sini berhimpun bagi memeriahkan 'Kenduri Asam Pedas' yang sememangnya cukup sinonim dengan nama negeri Hang Tuah ini.

 

Berbalik kepada keistimewaan masakan itu, sebut sahaja asam pedas pastinya terbayang dalam fikiran tentang masakan istimewa negeri Hang Tuah ini.

 

Dengan hidangan yang diberikan secara percuma, program anjuran kementerian itu menyediakan tiga jenis gulai asam pedas iaitu ikan pari, ikan parang dan tetel.

 

Sambil menikmati hidangan, para tetamu turut dihiburkan dengan persembahan dondang sayang.

 

Rais ketika berucap berkata, kehadiran rakyat pelbagai kaum menikmati masakan tradisi masyarakat Melayu secara bersila jelas membuktikan kesepakatan pelbagai kaum di negara ini.

 

"Keadaan ini juga menunjukkan perjuangan 1Malaysia kita selama ini sudah berkesan di hati masyarakat. Ia dapat dilihat dari segi keramaian, gotong-royong dan penglibatan masyarakat pada malam ini," katanya.

 

Program Merakyatkan Seni dan Budaya 1Malaysia 'Kenduri Asam Pedas' yang bermula pukul 8 malam itu mendapat kerjasama yang baik daripada penduduk kampung berkenaan.

 

Bagi Wan Syed Hashim, walaupun hanya mengetahui program berkenaan akan diadakan di rumahnya kira-kira dua minggu lalu, dia langsung tidak berasa bimbang program itu tidak dapat dijayakan.

 

"Rumah saya sering dijadikan lokasi aktiviti masyarakat di sini. Dalam setiap aktiviti, penduduk kampung akan bergotong-royong membantu saya. Asam pedas ini juga dimasak secara gotong-royong membabitkan penduduk kampung dan ahli keluarga saya," katanya.

 

Zainah yang dipertanggungjawabkan memasak asam pedas dan lauk-pauk untuk tetamu berkata, sejak pagi kelmarin penduduk kampung termasuk keluarganya bersama-sama membuat persiapan bagi memasak hidangan itu.

 

"Selain asam pedas kami juga menyediakan ikan sepat masak kuning. Berkat gotong-royong, semua hidangan ini berjaya disiapkan tanpa sebarang masalah," katanya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, March 20, 2011