Kenali seni makyung

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

SESUDAH makyung diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) sebagai Warisan Dunia pada 25 November 2005, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) terus mengorak langkah aktif untuk mengembangkan seni warisan itu kepada seluruh masyarakat tempatan.

Daripada peringkat kanak-kanak mereka perlu didedahkan kepada seni warisan negara kerana merekalah yang akan meneruskannya pada masa depan. Andai kata diabaikan warisan itu, pasti suatu hari nanti ia akan terus dilupakan.

Sehubungan itu, atas usaha Ketua Pengarahnya, Datuk Norliza Rofli, JKKN membawakan Eksplorasi Mak Yong Siri Jelajah Kijang Emas 2012. Ia juga disokong jenama Jamu Mak Dara.

Menerusi eksplorasi itu, kumpulan makyung itu dibawa menjelajah ke seluruh negara merangkumi tiga zon utama - Zon Utara (Kedah & Pulau Pinang), Zon Tengah (Selangor & Pahang) serta Zon Selatan/Borneo (Johor & Sabah).

Bagi Zon Utara, delegasi Mak Yong Kijang Mas sudahpun bertandang pada 16 & 17 Mac lalu untuk Persembahan Mak Yong Puteri Jerijit Emas di Auditorium JKKN Kedah, Taman Budaya Negeri, Kedah.

Selepas itu pada 22 & 23 Mac pula mereka bergerak ke Auditorium JKKN Pulau Pinang, Taman Budaya Pulau Pinang dan seterusnya pada 12 & 13 Mei ke UiTM Shah Alam diikuti persembahan di Auditorium Kompleks JKKN Pahang, Taman Budaya Negeri Pahang.

Sementara itu, bagi Zon Selatan-Johor, pencinta seni di sana dapat menyaksikan pementasan teater itu

di Auditorium Jotic, Johor Bahru pada 16 dan 17 Jun. Sebelum itu, pada 13 hingga 15 Jun diadakan pula bengkel makyung di Sekolah Seni Johor kepada penggemar seni.

Seterusnya mereka menuju Sabah bagi mengadakan bengkel pada 19 - 21 Jun, disusuli persembahan makyung di Kompleks JKKN Sabah, Kota Kinabalu pada 22 dan 23 Jun.

Menurut Norliza, siri Jelajah Kijang Emas juga bertujuan mengangkat dan mengiktiraf Kumpulan Mak Yong Kijang Emas terhadap bakat serta kebolehan artis budaya dalam mempersembahkan teater tradisional di samping memartabatkan kembali kesenian tradisional dalam bentuk dan konsep asal.

“Pengisian aktiviti dalam Siri Jelajah Kijang Mas itu merangkumi bengkel makyung selama tiga hari dan pementasan selama dua hari. Bengkel ini akan mendedahkan pelajar sekolah dan IPTA/IPTS, badan bukan kerajaan dan artis budaya (JKKN) kepada asas tarian makyung dan struktur persembahannya.

“Pada akhir bengkel, semua peserta akan berpeluang terbabit dengan pementasan sebenar makyung bersama Kumpulan Mak Yong Kijang Emas. Mereka mendapat latihan dan bimbingan daripada tenaga pengajar, Rohani Mohd Zain dan Rosnan Rahman yang juga pejuang makyung,” katanya.

Kepada mereka yang belum pernah menyaksikan makyung, inilah peluang terbaik untuk menontonnya seisi keluarga. Bagi menambat hati pencinta seni, makyung turut diselitkan elemen komedi menerusi watak dua pengasuh (Peran Tua & Peran Muda).

Untuk memudahkan penonton memahami jalan ceritanya, tertera juga jalan cerita dan sinopsis setiap babak pada skrin lebar di tepi pentas. Semuanya ada 18 babak yang dipenuhi lakonan tarian dan nyanyian dalam dialek Kelantan.

Persembahan dibuka dengan permainan rebab yang juga instrumen muzik penting dalam persembahan tradisional makyung.

Biarpun makyung menonjolkan kisah klasik dan dongeng, elemen jenaka dengan isu semasa diselitkan agar penonton tidak bosan.

Mak Yong Puteri Jerijit Emas mengisahkan Raja Muda Kesukma Jaya meminta izin ayahandanya Raja Besar untuk pergi memburu bersama kedua-dua pengasuhnya. Ketika di hutan, dia terdengar bunyi kemerduan kicauan burung yang mengasyikkan. Burung yang sedang mandi di kolam itu sebenarnya adalah Tuan Puteri Jerijit Emas bersama inang-inang yang sudah ditukarkan rupa oleh Nenek Pendita sebagai langkah keselamatan.

Raja Muda Kesukma Jaya dan pengasuhnya terus tercari-cari di mana datangnya suara burung itu. Selepas berjumpa, mereka terus mencampakkan jala ke atas burung berkenaan. Burung lain (barisan inang) berjaya terbang pulang dan mengadu kepada Nenek Pendita yang kemudian menjelma menjadi seekor kucing hutan untuk pergi menyelamatkan Tuan Puteri Jerijit Emas.

Tatkala Raja Muda Kesukma Jaya sedang asyik bermain dengan burung yang ditangkapnya itu, tiba-tiba sepantas kilat Nenek Pendita menjelma menjadi kucing lalu menyambar Tuan Puteri Jerijit Emas dan dibawa lari bersembunyi di dalam sebuah gua yang diawasi beratus-ratus ular.

Namun dengan kesaktian yang ada padanya, putera itu berjaya masuk ke dalam gua berkenaan lalu menemui Tuan Puteri Jerijit Emas. Akhirnya mereka jatuh cinta dan berkahwin.

Pementasan ini dijayakan Rosnan Rahman (Raja Besar/Pak Yong), Nur Qul’Ain Saari (Tuan Puteri Jerijit Emas), Nor Bariah Salih (Raja Kesukma Jaya), Siti Nur Fatihah Ariffin (Nenek Pendita), Mohd Faiz Adam Sakeri (Kucing Hutan), Abd Muhaimin Abdullah (Peran Tua) dan Che Mohd Rasul Che Soh (Peran Muda).

Barisan pemuzik pula adalah Mohd Tab Hamat (rebab), Che Muhammad Tarmizi Che Soh, (gendang ibu), Che Abdul Aziz Che Soh (gendang anak), Mohd Shah Rezal Muhamad (gong), Amirul Ikwan Masnudin (kesi), Mohd Adam Ismail (canang).

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, May 28, 2012