Kenali puisi lebih dekat - Rais Yatim

KUALA LUMPUR 26 Sept. - Program Jiwa Merdeka 2010 yang berteraskan transformasi puisi oleh generasi muda perlu diteruskan sehingga ke peringkat negeri pada masa depan.

 

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, ia bagi membolehkan generasi baru mengenali puisi dengan lebih dekat lagi.

 

"Kita akan namakan program ini sebagai Jelajah Seni Budaya 1Malaysia selaras usaha untuk merakyatkan seni terutama di kalangan generasi muda.

 

"Saya percaya program ini pastinya melibatkan sedikit kos. Justeru, kementerian sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memastikan perkara tersebut mampu direalisasikan," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada Program Jiwa Merdeka 2010 yang bertemakan, 1Malaysia Menjana Transformasi Puisi sebagai sebahagian pengisian kepada Manifestasi Puisi Merdeka 2010 di sini, semalam.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

 

Program anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu bertujuan menyemarakkan seni dan penghayatan merdeka dalam bentuk puisi oleh generasi muda sebagai sebahagian inisiatif untuk merealisasikan Gagasan 1Malaysia.

 

Antara yang mendeklamasikan puisi pada program tersebut ialah tokoh sastera negara, Profesor Rahman Shaari, Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur, Persatuan Anak Seni Bayu Kenyalang dan pasukan koir dari Universiti Limkokwing.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, September 27, 2010