Kementerian keluar lesen konsert

FREDDIE Fernandez bersama (dari kiri) Mubarak Akhtar (wakil Ella) dan Mogorta Hazaman Wahab

di sidang akhbar di pejabat Karyawan, Petaling Jaya, baru-baru ini.

KEGAGALAN penganjur KL Tower Music Fest 2010 melunaskan pembayaran yang tertunggak sebanyak RM100,000 kepada lebih 50 artis indie termasuk artis terkenal tanah air mendapat perhatian Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez mencadangkan agar Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan melakukan tindakan susulan terhadap isu berkenaan.

Katanya, itu bukanlah kali pertama kejadian tersebut berlaku bahkan telah berulang kali penganjur menipu artis setelah konsert berakhir.

Freddie juga mencadangkan agar KPKK mengeluarkan lesen kepada organisasi yang ingin menganjurkan apa juga jenis konsert supaya artis tidak menjadi mangsa penipuan.

"Tujuan Karyawan adalah untuk menjaga kebajikan artis yang bernaung di bawahnya.

"Jadi, cadangan seperti itu cukup relevan agar nasib artis lebih terjamin sekiranya berlaku apa-apa kejadian yang tidak diingini.

"Dengan pengeluaran lesen tersebut, pihak yang ingin menganjurkan konsert akan lebih bersedia dan berhati-hati serta bertanggungjawab," ujarnya mewakili artis-artis yang menjadi mangsa penipuan tersebut.

Pada 30 Julai hingga 1 Ogos lalu, KL Tower Music Fest 2010 telah dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Selebriti di Menara Kuala Lumpur.

Lebih daripada 50 artis terbabit sepanjang festival tiga hari itu masih belum lagi menerima baki bayaran dan ada di antaranya yang langsung tidak menerima bayaran.

Terdapat 20 keping cek tendang yang dikeluarkan penganjur untuk membayar wang mereka.

Freddie menambah, setakat ini sudah 20 laporan polis dibuat oleh mangsa termasuklah laporan daripada krew-krew yang terlibat.

Dalam pada itu, Freddie juga kecewa dengan penglibatan dua persatuan muzik dalam kes ini iaitu Performers & Artistes Rights (M) Sdn. Bhd. (Prism) dan Majlis Muzik Malaysia.

"Badan tersebut seolah-olah lepas tangan walhal mereka menegaskan bahawa merekalah pembela dan pembina industri muzik tempatan.

"Saya mempersoalkan penglibatan mereka dalam menangani kes ini," tegasnya.

Sementara itu, Pengurus Produksi yang juga koordinator konsert itu, Mogorta Hazaman Wahab berkata, jumlah hutang penganjur dengan semua artis mencecah RM100,000.

"Jumlah itu tidak termasuk bayaran untuk pekerja di belakang tabir dan peralatan konsert," jelas Mogorta.

Menurutnya, pembabitan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) dalam konsert itu juga menjadi tanda tanya memandangkan tiadanya respons daripada agensi itu.

"Saya berharap agar JKKN dapat menjelaskan situasi sebenar sama ada mereka terlibat secara langsung atau tidak dengan festival itu," pintanya.

Antara artis yang terlibat dalam festival itu ialah Ella, Amuk, XPDC, May, Republic of Brickfield, Bunkface, Meet Uncle Hussin, Radhi OAG, The Times, Seven Collar T-Shirt dan Pesawat.

Lain-lain artis termasuk Pure Vibration, Restraint, Couple, Rosewood, Cassandra, Zip Ziller, Sharpshooter, Romansca, Smellyvein, Plague of Happiness, Silent Death, Rivernation, Pickcell, Agrobeat dan Kugiran Di Tepi Pantai.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, August 24, 2010