Kembangkan nilai adat, budi di kalangan generasi muda

Kembangkan nilai adat, budi di kalangan generasi muda

 

SEREMBAN: Yayasan Warisan Negara (YWN) akan bekerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menyemarakkan semula program asuhan dan bimbingan mengenai adat Melayu dan budi.

 

Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata budi terkandung dalam adat dan setakat ini budi tidak diajar lagi dan tidak disekutukan ilmu ini dalam latihan adat.

 

“Ini sangat penting kita lakukan demi orang Melayu sendiri dan demi negara kita. Perkara ini harus dilaksanakan sebab Perkara 160 Perlembagaan Malaysia menganggap orang Melayu yang tidak adat beristiadat, tidak lengkap Melayunya. Jadi, orang Melayu mesti melihat kepada Perkara 160 dan sempurnakan tanggungjawab itu.

 

“Satu caranya ialah kita mengadakan latihan, kursus dan bimbingan semula mengenai adat dan budi. Pada masa dahulu, apabila orang Melayu dikata ‘awak tidak beradat’ mereka marah, tetapi sekarang orang tidak faham lagi, jadi, tidak menjadi masalah bagi mereka.

 

“Dalam kalangan orang muda khususnya, perkara adat dan budi ini harus dididik semula. Malah, kalangan orang dewasa pun saya dapati mereka sudah tidak begitu faham mengenai adat dan budi,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama Sidang Sehari Adat Perpatih 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YWN dan JKKN di sini semalam.

 

Turut hadir Pengarah DBP Wilayah Tengah Abang Patdeli Abang Muhi dan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) JKKN Mohamad Razy Mohamad Nor, Ketua Pengarah Muzium Negara Datuk Ibrahim Ismail dan Pengerusi YWN Datuk Seri Kamaruddin Siaraf.

 

Katanya Kementerian Pendidikan juga harus memainkan peranan untuk mengembangkan adat dan budi dalam kalangan generasi muda di peringkat sekolah kerana jika tidak lama-kelamaan generasi yang dilahirkan tidak lagi berbudaya menyebabkan mereka seperti orang yang tiada pegangan.

“Ini sangat-sangat mendukacitakan. Sebab itu, saya cuba merealisasikan perkara ini dan terjemahkan dalam beberapa program. Kita masih belum terlewat untuk melaksanakan beberapa langkah utama,” katanya.

 

Rais berkata beliau akan berunding dengan pihak universiti di negara ini dan universiti nusantara untuk membawa isu membina semula masyarakat nusantara berbudi dan berbudaya menerusi universiti.

 

“Saya akan ke Jakarta, Indonesia pada 26 Jan ini dan akan cuba membawa perkara ini, di samping berbincang mengenai bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa dunia dengan Timbalan Presiden Indonesia Jusuf Kalla. Semoga perkara ini dapat perhatian dalam nusantara dan kita akan bergerak lebih luas daripada apa yang ada sekarang,” kata-nya. — Bernama

Akhbar: 
Borneo Post
Publish date: 
Friday, January 23, 2015