Kembalikan mainan tradisi

ALOR GAJAH: Permainan tradisional yang sering dimainkan di kawasan kampung kini semakin dipinggirkan masyarakat terutama golongan muda hari ini, malah dibimbangi akan lupus ditelan zaman jika tidak dipertahankan.

Penyelaras Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Seni Sepanjang Zaman, Razak Said berkata, antara permainan tradisional yang popular pada masa dulu termasuk gasing, congkak, tarik daun upih dan tarik tali.

Menurut beliau, program itu di bawah seliaannya adalah anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Melaka bagi memartabatkan semula seni dan budaya masyarakat Melayu yang kian pudar.

“Jika zaman dulu anak kampung keluar pada waktu petang hingga ke senja bermain tarik tali, menarik rakan menggunakan daun upih malah menggunakan tanah mencipta lubang untuk dijadikan congkak.

“Namun permainan itu kini semakin pudar untuk diteruskan kanak-kanak pada hari ini berikutan peredaran zaman yang semakin canggih,” katanya ketika ditemui pada program itu, di Padang Awam Kampung Gadek, di sini, baru-baru ini.

Katanya, bukan sekadar permainan tradisional malah pelbagai lagi peralatan serta barangan berunsurkan tradisional perlu dimartabatkan supaya terus mendapat tempat di hati rakyat meskipun usianya sudah berzaman.

 

“Bagaimanapun, masih terdapat permainan rakyat yang dijadikan acara dalam sesebuah program seperti pertandingan gasing yang kini turut membabitkan peserta negara luar dan sepak raga.

“Kebudayaan dan seni ini disatukan menjadi satu kebudayaan yang unik kerana hampir setiap keturunan bangsa mempunyai budaya tersendiri sehingga membentuk kebudayaan masing-masing,” katanya lagi.

Kata beliau, kesenian seperti permainan kompang, hadrah dan tarian tradisional juga semakin kurang dikenali golongan muda masa kini yang lebih cenderung dengan genre muzik yang mengikut peredaran zaman.

“Namun uniknya Malaysia apabila majlis perkahwinan dilangsungkan, paluan kompang tidak pernah ketinggalan apatah lagi lebih membanggakan apabila masih ada anak muda yang sukarela menyertai kumpulan kompang.

“Saya yakin dengan inisiatif mengadakan program kesenian dan kebudayaan ini dapat membuktikan kesenian di negara ini masih terpelihara dengan adanya kesedaran dalam kalangan generasi muda,” katanya.Gadek.

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Saturday, May 12, 2012