Kelazatan makanan tradisi

(AZMI Che Hussin (tengah) melihat makanan tradisional ubi gadung yang disediakan pada program PMS di Sungai Batu, Baling, Kedah, baru baru ini.)

Bau wangi aroma pelbagai jenis makanan tradisional yang disediakan pada Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah di Kampung Sungai Batu baru-baru ini menarik perhatian pengunjung.

 

Antara khemah yang mendapat perhatian pengunjung adalah yang dikendalikan oleh Mak Long Melah atau nama sebenarnya, Siti Aminah Taib, 68, yang menyediakan ‘kebaban’.

 

Begitu juga gerai Che Bashah Ahmad, 52, yang menyediakan ubi rebus, labu rebus dan tempe cicah sambal daging menarik orang ramai untuk singgah.

 

Gambaran awal itu sedikit sebanyak membuka mata pengunjung mengenai program itu yang diadakan di Padang Awam Kampung Sungai Batu dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayu.

 

Antaranya JKKP Kampung Sungai Batu, Haji Abas, Bawah Gunung, Jenalik, Banggol Wan Mat dan Seberang Pekan.

 

Biasanya apabila disebut seni budaya, masyarakat akan lebih tertumpu kepada nyanyian dan tarian, sebaliknya ia juga merangkumi pelbagai skop seni yang berkaitan kehidupan rakyat, termasuk makanan yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

 

Penyediaan makanan tradisi yang agak jarang diketahui boleh dilihat antaranya ubi gadung cicah kelapa, kebaban, sembelit, lemang tepung, serunding kampung, peknga dan beberapa lagi makanan yang lazat dan kurang mengandungi gula serta lemak.

 

Masakan ikan rebus dalam buluh yang menjadi santapan orang lama membuatkan program itu boleh dikomersialkan dan diperluaskan penerimaannya.

(HASLIZA Abu Hassan As Shaari (dua dari kanan) bersama rakan-rakan menunjukkan makanan tradisi seperti lemang tepung dan lemang ubi yang masih menjadi tarikan generasi sekarang.)

Menurut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kedah, Kassim Mahmud, program untuk penduduk luar bandar itu akan lebih dihayati oleh masyarakat khususnya golongan muda bagi menanam rasa cinta dan mendekati warisan seni dan budaya negara termasuk makanan tradisional.

 

Menurutnya, menerusi program itu semangat gotong-royong, muafakat dan kerjasama dalam kalangan masyarakat boleh dikekalkan.

 

Ahli DUN Bayu, Azmi Che Hussin pula berkata, program itu terbukti berjaya kerana mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk setempat.

 

“Melalui program ini, kita dapat menghidupkan semula kebudayaan Melayu apabila kebanyakan penduduk mengenakan pakaian lama dan turut menghidangkan kuih-muih tradisional yang semakin dilupakan dan jarang ditemui,” katanya.

 

Menurutnya, penduduk sendiri menyediakan juadah tradisional dan memberi peluang kepada pengunjung, terutama golongan muda untuk menikmatinya.

 

Katanya, program itu juga selari dengan konsep 3M iaitu murah, mudah dan meriah.

 

“Program ini tidak memerlukan belanja yang besar kerana ia diadakan secara gotong-royong dan pastinya program ini juga mudah kerana ia merupakan program santai, namun memberi kesan yang amat besar kepada masyarakat,” katanya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, November 24, 2011