Kelab Kilat angkat cerita rakyat

Pembabitan Kelab Kilat TNB dengan perkembangan sastera tanah air tidak dapat dinafikan lagi. Ditubuhkan sejak 21 April 1950, usaha penubuhan biro teater dimulakan pada 1997 dan digerakkan oleh tenaga kerja TNB sendiri.

Sejak itu juga Kelab Kilat TNB tidak pernah gagal untuk menyertai Festival Teater Malaysia peringkat Kuala Lumpur dan sentiasa memberi sokongan sepenuhnya terhadap aktiviti lain yang dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

Tahun lalu, mereka mewakili Malaysia dalam Festival Teater sempena Persidangan Kesusasteraan Melayu Peringkat Asia iaitu Persidangan MASTERA. Program ini di bawah penganjuran DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama DBP Brunei Darussalam.

Terbaru, Kelab Kilat TNB Kuala Lumpur menjadi johan bagi kategori monodrama dalam Festival teater Kuala Lumpur, sekali gus meraih beberapa anugerah utama yang dipertandingkan.

Untuk tahun ini, Kelab Kilat TNB terpilih menjayakan program Siri Semarak Bangsawan anjuran JKKN dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang akan berlangsung di Auditorium DBKL pada 8 hingga 10 Mei 2015.

Mereka akan mengadakan persembahan bangsawan berjudul Awang Kudis Buta karya Milyana Arshad dan arahan Nazri Ahmad. Barisan pelakon yang terbabit pula bukan calang-calang kerana terdiri daripada Zul Handy Black, Shahriza Mahmud, Yaya Maembong, Sharul Titis, Azerai Azmi, Khusiary Mahayudin, Wan Raja dan ramai lagi.

Nazri berkata, pengalaman dan penglibatan ahli-ahli kelab ini menjadi tunjang kekuatan untuk mementaskan genre bangsawan supaya terus dilestarikan daripada satu generasi ke generasi lain.

“Kami memilih cerita rakyat daripada genre Kesusasteraan Melayu iaitu Cerita Awang yang semakin dilupakan. Cerita-cerita Awang ini biasanya diceritakan secara lisan oleh penglipulara atau Awang Batil.

“Namun persatuan mengambil pendekatan untuk menyuntik elemen dramatik ke dalam cerita Awang dan seterusnya membawakan cerita seumpamanya dalam bentuk persembahan pentas iaitu bangsawan.

“Selain itu, siri cerita Awang dibawa ke pentas dalam usaha mempamerkan budaya, sikap, jati diri serta pemikiran bangsa Melayu itu sendiri. Karya lisan yang masih belum diterbitkan dalam mana-mana percetakan ini dilihat sebagai hidangan yang segar kepada penonton di Kuala Lumpur dan memberi kelainan kepada peminat genre bangsawan sedia ada,” katanya.

Menurutnya, persembahan mereka bukan sekadar dibuat sambil lewa kerana dijangka akan dapat mencapai beberapa objektif iaitu memperkasakan bahasa Melayu dalam laras bahasa yang betul, mengembangkan penggunaan puisi tradisional seperti gurindam, nazam dan seloka serta menyampaikan hiburan yang mengandungi mesej yang berguna seperti tema kasih sayang dalam kalangan penonton.

Yang Dipertua Kelab Kilat Kuala Lumpur, Ismail Abdul Rahman memuji usaha yang digerakkan oleh anak buahnya hingga berjaya tersenarai dalam program unggul yang memasuki tahun kesembilan ini.

“Untuk tahun ini, hampir 30 kumpulan menghantar permohonan untuk mengisi slot yang diperuntukkan. Semuanya dipanggil untuk membentangkan cadangan pementasan masing-masing dengan kreativiti yang unik dan pelbagai.

“Bukan mudah kerana mereka perlu melalui dua tapisan pembentangan di JKKN. Selepas penilaian, hanya tujuh kumpulan yang berjaya meyakinkan pihak JKKN dan seterusnya terpilih untuk mengisi slot ini.

“Justeru, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Kelab Kilat Kuala Lumpur kerana menjadi salah satu kumpulan yang terpilih dalam mengisi slot pementasan siri Semarak Bangsawan bagi tahun 2015. Pencapaian ini sangat membanggakan,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:11 AM

KUMPULAN produksi Kelab Kilat Kuala Lumpur bersama barisan pelakon yang menjayakan teater ini.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38100#sthash.vSSGaUVY.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Friday, March 20, 2015