Karnival Budaya martabat seni warisan

MELAKA 7 Dis. – Program Karnival Budaya akan disenaraikan ke dalam kalendar pelancongan negeri ini sebagai acara tahunan dalam memartabat seni warisan budaya sebagai antara tarikan utama di negeri ini.

Idris Haron

Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata, acara seumpama itu dilihat dapat mempamerkan keistimewaan kepelbagaian budaya kepada pelancong dari dalam serta luar negara sekali gus menyokong pertumbuhan negara melalui aktiviti seni budaya.

Menurutnya, aktiviti kesenian warisan budaya anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) itu juga mampu menye­marakkan aktiviti ke­senian warisan budaya di negeri berkenaan.

“Inspirasi penganjuran program ini adalah ke­sinambungan daripada usaha-usaha dilaksanakan dalam merealisasikan visi dan misi memantapkan usaha-usaha memulihara, mengekal, mengembang dan menyemarakkan seni budaya warisan bangsa.

“Program ini juga mengembeling elemen seni budaya dalam meningkatkan kesejahteraan dan perpaduan bangsa sekali gus menggalakkan penglibatan penggiat seni budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan karnival berkenaan di Perkampungan Hang Tuah, di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol; Pengarah JKKN negeri, Zulkarnain Ramli dan Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) Datuk Khamis Abas.

Idris berkata, karnival yang turut mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri dan Perzim yang di jalankan di Perkampungan Hang Tuah itu bukan sahaja dapat menye­marakkan aktiviti kesenian malah membantu mempromoosikan lokasi berkenaan sebagai salah satu produk pelancongan negeri itu.

Sementara itu, Zulkarnain berkata, JKKN mengariskan beberapa program teras yang menjadi landasan dalam usaha mengangkat dan memartabatkan seni dan budaya di negeri itu termasuklah penganjuran karnival berkenaan.

Beliau berkata, program seumpama itu mampu memberi kesedaran kepada masyarakat khasnya golongan muda di negeri pentingnya pengurusan nilai-nilai murni dalam seni budaya bagi membentuk jati diri bangsa.

“Nilai-nilai murni berkenaan dilihat semakin terhakis dari hari ke hari dan ia perlu dipupuk kembali melalui penganjuran program serta karnival seperti ini.

“Ia dilihat mampu mendekatkan masyarakat umum kepada aktiviti seni budaya serta mengeratkan hubungan baik yang terjalin dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini tanpa mengira latar belakang,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/karnival-budaya-martabat-seni-wa...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, December 8, 2015
Kemas kini terakhir: 17 July 2019, 05:20pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN