Junjungan kasih Raja dan Rakyat

 

 

Gilang-gemilang, meriah dan penuh dengan warna-warni...itulah yang boleh diungkap saat berpeluang menonton Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu. Konsert khas tersebut diadakan julung kali sempena memuliakan hari keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah yang ke-85.

Menariknya, konsert tersebut mencatat rekod tersendiri apabila Sultan Ahmad Shah turut diraikan oleh rakyat jelata pada penghujung majlis dengan menyanyikan lagu Allah Selamatkan Tuanku secara beramai-ramai sambil baginda memotong kek hari keputeraan. Momen istimewa yang disaksikan secara langsung oleh rakyat itu bukan sahaja menggembirakan Sultan Ahmad Shah, tetapi juga semua penonton yang hadir.

Walaupun ia sebuah acara hiburan, namun impaknya cukup besar kerana bukan selalu rakyat dapat duduk bersama dengan baginda dalam sesebuah majlis.

Wajah Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada boleh disifatkan sempurna. Berdurasi dua jam 15 minit, konsert tersebut diserikan dengan persembahan tujuh penyanyi terkenal tanah air. Kesemua mereka pernah menerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk iaitu Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Rossa, Datuk Yusni Hamid, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Hattan, Datuk David Arumugam dan Datuk Leonard Tan.

Paling tidak boleh dilupakan adalah persembahan pembukaan oleh anak jati Pahang, Siti Nurhaliza dengan lagunya Tari Tualang Tiga dan Joget Pahang. Siti lengkap bersongket busana tradisional.

MESRA. Sultan dan Sultanah Pahang meluangkan masa bersalaman dengan para penyanyi usai Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

 

Sebaik sahaja pasukan Orkestra Simfoni Kebangsaan memulakan muzik, kelibat Siti bersama segerombolan penari mula menguasai pentas.

Selain Siti Nurhaliza, kemunculan penyanyi yang diterbangkan khas dari Jakarta, Indonesia, Rossa membuatkan penonton terbuai oleh melodi mendayu-dayu daripada rantaian lagu Atas Nama Cinta, Ayat-Ayat Cinta dan Itulah Sayang. Tidak ketinggalan, Rossa turut menghangatkan pentas dengan lagu rancak seperti Hey Ladies dan Pudar. Menariknya, persembahan lagu Pudar oleh Rossa diserikan dengan kehadiran penyanyi serta penari cilik daripada Permata Seni Koir dan Tari.

Menurut Rossa, beliau berbesar hati kerana turut diundang untuk menjayakan persembahan di pentas penuh berprestij itu bersama dengan barisan penyanyi terbaik Malaysia.

Meskipun bukan kali pertama beraksi di pentas Istana Budaya dan mengadakan persembahan di hadapan Sultan Ahmad Shah, debaran tetap dirasainya.

“Saya bersyukur atas penghormatan dan jemputan ke konsert ini. Sebelum ini saya selalu juga diundang untuk menyanyi di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang pada majlis rasmi negeri, cuma kali ini persembahannya sangat berbeza.

“Apa yang boleh dikatakan, saya memang berdebar sebelum naik ke pentas kerana saya sempat berlatih satu malam sahaja. Namun, saya telah beri yang terbaik dan cuba menggembirakan Tuanku serta semua tetamu yang hadir sebaik mungkin,” katanya yang berada di Malaysia sehari sebelum konsert berlangsung.

Sementara itu, penyanyi yang popular dengan tagline ‘terima kasih’, David Arumugam pula dilihat bijak membeli jiwa penonton. Mendendangkan tiga buah lagu iaitu Hingga Akhir Nanti, Puisi Sang Puteri dan Sekuntum Mawar Merah, beliau menjadikan konsert penuh protokol tersebut lebih santai dengan mengajak penonton menyanyi bersama-sama.

PEMBUKA TIRAI. Sebagai anak Pahang, Siti Nurhaliza diberi penghormatan sebagai penyanyi yang membuka tirai konsert dengan lagu Tari Tualang Tiga dan Joget Pahang.

 

Tidak ketinggalan, penghibur yang terkenal dengan jolokan penyanyi diraja iaitu Yusni Hamid juga memukau penonton dengan suaranya yang lemak merdu. Meskipun telah berusia 65 tahun, staminanya setanding dengan penyanyi muda. Tanpa penari latar, kehadiran Yusni Hamid seorang diri di Panggung Sari bertemankan vokal lunak merdunya sudah cukup untuk memastikan mata penonton tertumpu kepadanya.

“Saya memang sudah biasa menyanyi untuk konsert diraja. Alhamdulillah pada usia emas begini, tawaran tidak pernah putus. Sebenarnya saya cukup berbesar hati kerana terlibat dalam sebuah persembahan yang dianggap cukup berprestij.

“Biasanya konsert diraja dibuat secara tertutup tetapi kali ini dengan kehadiran penonton, ia lebih bermakna. Saya selalunya menyanyikan lagu Melayu asli, tetapi hari ini diminta untuk mendendangkan lagu bersifat popular,” ujarnya yang menghiburkan dengan barisan lagu Kau Yang Ku Nanti, Di Wajahmu Ku Lihat Bulan dan Kasih.

Dalam pada itu, Hattan dan Jamal Abdillah turut mendapat tepukan gemuruh penonton apabila mereka berduet lagu Kepadamu Kekasih. Segak memakai tuksedo, Jamal turut menyanyikan lagu popularnya seperti Aku Penghibur, Sepi Seorang Perindu dan Keluhan Perantau. Hattan pula memikat penonton dengan lagu Kau Yang Satu dan Dari Kekasih Kepada Kekasih.

Seorang lagi penyanyi yang membikin penonton ingin bergoyang sudah tentu Leonard Tan yang terkenal dengan kebolehannya meniru vokal penyanyi lain. Malam itu, beliau menghiburkan tetamu diraja dengan barisan lagu malar segar seperti What A Wonderful World, Fly Me To The Moon dan Sway.

Tidak hanya dihiburkan dengan nyanyian, semangat patriotik penonton seolah-olah terbakar apabila Pengarang Hiburan Utusan Malaysia, Tengku Khalidah Tengku Bidin berdiri mendeklamasikan sajak berjudul Benarlah Bagai Dikata: Raja dan Rakyat Berpisah Tiada.

Segmen deklamasi sajak itu dibantu teknologi pentas blackgauze.

Usai tepukan gemuruh lontaran semangat puisi tersebut, tiga penyanyi iaitu Siti, Rossa dan Yusni Hamid muncul beradu vokal menerusi lagu Mencintaimu sebagai penutup konsert.

PENUH AURA. Persembahan Rossa (atas) cukup hebat dan memukau penonton.

 

Istimewanya sepanjang konsert berlangsung penonton turut dihidangkan dengan foto-foto serta video Sultan Ahmad Shah serta Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom yang tidak pernah dipertontonkan kepada umum sejak dari zaman muda sehingga terkini.

Gambar dan video yang dipertontonkan dalam konsert tersebut secara tidak langsung membuatkan rakyat lebih mengenali baginda. Apa yang lebih membahagiakan, sebahagian hasil kutipan tiket dan penajaan konsert akan disalurkan ke badan amal tertentu untuk membantu golongan kurang berkemampuan di luar bandar dan pedalaman termasuk anak yatim.

Hadir sama dalam konsert tersebut ialah Penaung Diraja konsert, Tengku Datuk Seri Kamarulzaman Sultan Sir Abu Bakar dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Luhur Nurani, Datuk Mohd. Aizuddin Ghazali. Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Tidak ketinggalan, kehadiran Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Pameran dan Konsert Raja dan Rakyat Berpisah Tiada, Datuk Ruhaidini Abd. Kadir turut memeriahkan majlis. Konsert turut dijayakan dengan penglibatan Bank Rakyat, Agrobank, Genting Malaysia Bhd., Suruhanjaya Syarikat Malaysia, UEM Group Bhd., Persatuan Siswazah Warisan, Pertubuhan Strategis Bersatu, Yayasan Almas, Permata Seni serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

Kosmo! bertindak sebagai akhbar rasmi konsert diraja tersebut.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0229&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz41WZ2I4xx 
Hakcipta terpelihara 

Author: 
Haryati Karim
Akhbar: 
Kosmo
Publish date: 
Monday, February 29, 2016