Juara Lagu Melayu, malam ini

BAGI memartabatkan bahasa Melayu agar tidak luput ditelan zaman, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudyaan menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Akhir Lagu Melayu Antarabangsa 2011.

 

Pertandingan yang pertama kali diadakan itu terbuka kepada peserta bukan warganegara yang menetap di Malaysia, berumur 18 tahun ke atas.

 

Peringkat saringan telah berlangsung pada 26 November lalu yang menyaksikan lebih 60 peserta dari pelbagai negara hadir mencuba nasib.

 

Manakala peringkat akhir pertandingan akan berlangsung malam ini di Auditorium Perdana Angkasapuri, pukul 8 malam.

 

Seramai 10 peserta terdiri daripada lima lelaki dan lima wanita berasal dari Zimbabwe, Indonesia, Yemen, Bangladesh dan Kazakhstan berjaya melangkah ke peringkat akhir.

 

Mereka bakal mendendangkan lagu irama Malaysia seperti Nasib Bunga, Kias Fansuri, Apa Dah Jadi, Cinta Nusantara, Joget Pahang, Balqis, Cindai, Seri Dewi Malam, Mengapa Diridu dan Dikir Puteri.

 

Pertandingan ini adalah salah satu daripada 15 program besar sasaran JKKN sebelum 2011 melabuhkan tirainya.

 

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, bahasa Melayu merupakan khazanah kebudayaan kebangsaan yang tidak ternilai harganya serta mampu mendukung fungsinya sama ada sebagai bahasa perpaduan, pentadbiran, pendidikan, perhubungan, undang-undang, ilmu, falsafah dan sebagainya.

 

Oleh itu ia harus diangkat bagi memartabatkan bahasa kebangsaan kita.

 

“Selain untuk mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan rasmi di persada dunia melalui pembudayaan bahasa, pertandingan ini diadakan bagi mengembangkan serta mempopularkan lagu Melayu ke luar negara.

 

“Menerusi pertandingan ini, kami berharap dapat membuahkan hasil yang baik serta dapat melahirkan rakyat Malaysia yang sayang akan bahasanya sendiri terutama dalam membentuk bangsa Malaysia yang bersatu padu.

 

Bahasa

“Tidak mustahil, kehebatan bahasa Melayu ketika zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka boleh muncul semula pada zaman ini, terutamanya jika pihak kerajaan menggiatkan usaha ke arah memartabatkan bahasa ibunda kita yang tercinta.

 

“Oleh itu saya menyeru orang ramai agar dapat meluangkan masa hadir ke pertandingan ini bagi menyokong usaha kami," katanya.

 

Peserta pertandingan ini terdiri daripada pekerja kedutaan dan suruhanjaya tinggi, perwakilan negara luar dan yang sedang berkhidmat di sektor swasta serta kakitangan dan pelajar pusat pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS).

 

Juara kategori lelaki dan wanita akan membawa pulang hadiah wang tunai RM 10,000, piala pusingan dan sijil.

 

Naib johan pula bakal menerima wang tunai RM 8,000, tempat ketiga RM 6,000. Bagi hadiah saguhati pula, peserta akan menerima wang tunai RM 1,000. Persembahan Terbaik dan Vokal Terbaik juga akan menerima wang tunai berjumlah RM 1,000.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, December 4, 2011