Joget 1Malaysia ke pentas dunia

 

(Tarian Joget 1Malaysia dipersembahkan oleh 500 peserta pelbagai kaum berjaya memukau penonton termasuk pelancong dari luar negara di Dataran Dewan Tun Ali di Melaka, kelmarin.)

Kementerian Pelancongan akan memperkenalkan Joget 1Malaysia ke peringkat antarabangsa kerana ia berpotensi menjadi produk pelancongan yang diminati ramai.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, selain menjadi produk pelancongan, melalui joget juga membolehkan seluruh masyarakat dunia dapat melihat betapa harmoninya masyarakat Malaysia daripada pelbagai kaum hidup bersatu padu.

 

"Pengalaman unik ini wajar diketengahkan kepada masyarakat dunia agar mereka dapat melihat betapa joget memperlihatkan sikap toleransi bermasyarakat yang diamalkan di negara ini," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Pesta Joget 1Malaysia yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini malam tadi.

 

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Latiff Tamby Chik dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.

 

Program tersebut dianjurkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan kerjasama JKKN dan kerajaan negeri.

 

Persembahan lebih dua jam itu membabitkan 500 peserta pelbagai kaum dan berjaya memukau lebih 2,000 orang termasuk pelancong dari luar negara yang hadir menyaksikan pesta tersebut.

 

Persembahan khas empat berempat melalui rangkaian lagu joget negeri dan gerak tari dari zon Timur, Barat, Utara, Selatan, Sabah serta Sarawak membuka tirai pesta itu.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Sunday, December 18, 2011