Joget 1Malaysia di Melaka

(Pesta Joget 1Malaysia yang berlangsung di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka hari ini.)

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bersama Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka telah mengambil inisiatif menganjurkan Pesta Joget 1Malaysia 2011 (PJ1M) di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka hari ini.

 

Acara yang dikelolakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu memaparkan variasi produk seni persembahan yang terkenal di Melaka khususnya iaitu joget sebagai elemen utama pada program ini.

 

Joget dalam masyarakat Malaysia merupakan tarian rakyat yang telah diterima oleh semua golongan lapisan masyarakat Malaysia.

 

Ia bererti menari atau bertandak dan joget juga merupakan salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu.

 

Kedatangan Portugis ke Melaka yang membawa tarian Branyo telah menjadikan joget diminati oleh masyarakat tempatan pada ketika itu.

 

Joget juga dijadikan satu kemestian dalam majlis keramaian dan ditarikan secara berpasangan, berkumpulan dan beramai-ramai yang juga dikenali sebagai joget lambak atau Cak Kun Cak. Pada kebiasaannya persembahan joget diiringi oleh alat-alat muzik akordian, biola, rebana dan gong.

 

Justeru, mengambil kira latar belakang tarian joget dan sinonimnya kepada negeri Melaka khususnya, maka inisiatif diambil untuk membawakan pesta joget ini dalam satu konsep baru. Ia diolah menjadikan Joget 1Malaysia melalui pelbagai versi joget dari segi rentak, gerak dan lagu yang akan dihasilkan daripada gerak asal sehingga kontemporari.

 

Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil, Melaka menjadi saksi utama Pesta Joget ini yang bakal menghimpunkan 500 peserta pelbagai kaum dan variasi joget dari seluruh Malaysia.

 

Ia dibahagikan mengikut tujuh segmen. Segmen pembukaan akan menampilkan petikan gitar oleh 10 orang pemuzik memainkan lagu Jingkling Nona sambil dinyanyikan oleh kumpulan koir kemudian diikuti nyanyian lagu 'Joget Dondang Sayang' diikuti pula dengan segmen persembahan Joget Orang Lama oleh 20 orang veteran pelbagai kaum dari Melaka.

 

Ia akan disusuli dengan acara pelancaran oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen Menteri dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam Ketua Menteri Melaka.

 

Paluan gong sebagai tanda pelancaran oleh ketiga-tiga pemimpin terbabit akan disambut oleh paluan rebana berentak joget serta nyanyian koir.

 

Setelah itu, Persembahan Khas menyaksikan Persembahan Empat Berempat yang terdiri dariapda rangkaian lagu joget negeri dan gerak tari joget negeri terpilih dari zon timur, barat, utara, selatan, Sabah dam Sarawak.

 

Cak Kun Cak iaitu persembahan tarian oleh kanak-kanak dari Kumpulan Tunas Budaya Negeri Melaka sermai 40 Orang pula akan diiringi penyanyi cilik, Mohd. FiqriIzzudin.

 

Persembahan Gerak Seirama akan memaparkan tari joget dalam versi pelbagai kaum seperti - Golek-Golek dari Masyarakat Portugis, Chinnanne Periyanne dari masyarakat India dan Chetty, tarian Inang Cin oleh masyarakat Cina dan Baba Nyonya serta 'Joget Sapu Tangan dan Sipinang Muda oleh masyarakat Melayu.

 

Manakala persembahan penutup akan menampilkan Serampang Laut dan Joget Malaysia iaitu gabungan persembahan joget oleh semua artis dan orang ramai.

 

Program yang berlangsung selama dua jam itu akan bermula pada pukul 8.30 malam.

 

Ia merupakan satu lagi inisiatif dalam usaha merapatkan hubungan muhibah, menjalinkan kemesraan di samping merakyatkan aktiviti seni budaya kepada komuniti setempat.

 

Apa yang lebih penting, ia mengajak semua kelompok masyarakat dan peserta untuk sama-sama menghargai seni budaya tradisi di samping memupuk jati diri dan semangat mencintai seni dan budaya selain mengukuhkan persaudaraan dan hubungan muhibbah masyarakat pelbagai kaum di Malaysia khususnya di Melaka.

 

Acara itu penting dalam perkembangan seni persembahan khususnya untuk rakyat jelata memandangkan joget telah mendapat penerimaan masyarakat pelbagai kaum sebagai tarian sosial yang popular, unik dan menjadi medium perpaduan di Negara kita.

 

Pesta Joget 1Malaysia turut ingin memberi persepsi dan jati diri kepada masyarakat Negara kita agar lebih menghargai seni budaya sendiri berbanding seni persembahan dari barat agar tidak terus ditenggelami arus pemodenan seperti tarian-tarian sosial dari barat.

 

Langkah itu selari dengan falsafah dan fokus asas JKKN iaitu melahirkan masyarakat Malaysia yang berbudaya berteraskan gagasan 1Malaysia.

 

Dengan penganjuran acara ini, adalah menjadi harapan kerajaan dalam memberikan persepsi berbeza masyarakat dalam mengenal jati diri dan pembentukan sahsiah menerusi himpunan masyarakat pelbagai kaum dalam memperkenalkan joget sebagai tali mengukuhkan perpaduan dan membuka minda masyarakat Malaysia tentang kepentingan usaha ini yang mampu memberi anjakan paradigma dalam lanskap sosial Negara ini.

 

Komuniti setempat boleh menjadikan joget sebagai gerakan senaman yang unik dan menarik manakala acara itu diharap dapat menarik pelancong untuk mengenali joget sebagai produk pelancongan budaya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, December 16, 2011