JKKN Sasar Penglibatan 6.5 Juta Orang Dalam Tiga Acara Antarabangsa

Melaka - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menyasarkan penglibatan 6.5 juta orang terutamanya pelancong dalam dan luar negara bagi tiga acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkannya di Kuala Lumpur, tahun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Norliza Rofli berkata acara berkenaan ialah Iftar@KL yang akan diadakan sempena Ramadan, Malaysia International Mask 2015 dan International Aborigines Festival 2015 selama tiga hari, masing-masing bermula pada 14 Ogos dan 23 Okt depan.

"Malaysia International Mask dan International Aborigines Festival merupakan acara yang julung kali diadakan dan melibatkan penyertaan dari pelbagai negara termasuk Itali, China, Thailand, Filipina, Indonesia, Australia dan New Zealand.

"Kita percaya acara ini akan membantu usaha menarik kedatangan pelancong ke negara ini sempena MyFest 2015," katanya dalam sidang media Jumaat selepas program Serlahan Seni JKKN 2015 Jom Balik Kampung Bersama Media di sini.

Beliau berkata tiga acara itu juga merupakan sebahagian daripada 2,377 program seni budaya anjuran JKKN sepanjang tahun ini bagi memartabatkan seni budaya bangsa dan menyokong sektor pelancongan serta ekonomi negara.

Akhbar: 
Berita RTM
Publish date: 
Friday, March 13, 2015