JKKN manfaatkan Pentas Bergerak untuk aktiviti seni di pedalaman

KUANTAN 11 Ogos - Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang akan memanfaatkan 'Pentas Bergerak' yang diperuntukkan oleh Kerajaan Pusat untuk mengadakan pelbagai aktiviti seni terutama di kawasan pedalaman.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Datuk Wan Adnan Wan Mamat berkata, kemudahan Pentas Bergerak seberat 10 tan itu lebih memudahkan pelaksanaan aktiviti seni selain menjimatkan kos.

"Kita dapat menjalankan pelbagai aktiviti seni di seluruh negeri tanpa perlu membina pentas lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Pentas Bergerak di Taman Budaya, di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah JKKN negeri, Mohd. Sukarno Abdul Wahab.

Pentas Bergerak yang berukuran lima meter panjang, dua meter lebar dan empat meter tinggi itu merupakan sebuah lori seberat 10 tan yang diubah suai dengan kos sebanyak RM500,000.

Pentas itu boleh beroperasi secara menggunakan alat kawalan jauh bagi mengubah strukturnya menjadi sebuah pentas mudah alih.

JKKN Pahang antara empat negeri yang menerima seunit Pentas Bergerak selain Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak pada 24 Julai lalu.

Majlis pelancarannya dirasmikan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur pada 26 April lalu.

Wan Adnan berkata, pihaknya yakin dengan kemudahan Pentas Bergerak itu, aktiviti seni di negeri ini akan dapat disemarakkan lagi.

Menurutnya, kemudahan itu juga dapat memberi impak yang besar terutama kepada masyarakat luar bandar untuk terlibat dalam kegiatan seni dan kebudayaan.

"Penduduk di kawasan pedalaman agak ketinggalan dalam aktiviti seni dan budaya kerana mereka sukar untuk keluar dari kawasan penempatan mereka.

"Dengan adanya Pentas Bergerak ini, masalah itu dapat diatasi dan mungkin kita juga dapat mencungkil bakat-bakat baru nanti.

"Kita merancang untuk mengatur satu program kesenian melibatkan golongan belia terutama di kawasan luar bandar selepas Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sukarno berkata, selain mengadakan persembahan seni dan budaya di Pentas Bergerak tersebut, ia juga dapat merapatkan silaturahim antara kakitangan JKKN dengan masyarakat.

"Kita juga dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program bersepadu yang bersesuaian dengan kehendak pelbagai lapisan masyarakat," katanya.

Selain tambah beliau, Pentas Bergerak itu dijamin dari segi tahap keselamatannya dan ia mampu menampung kira-kira 30 orang dalam satu-satu masa.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, August 12, 2010