JKKN Lancar Tabung Bencana Alam

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melancarkan Misi Bantuan Tabung Bencana Alam di sebuah pusat beli-belah terkenal di sini hari ini.

   

Pengarah Kanan Kebudayaan dan Kesenian JKKN, Rosli Osman yang juga penyelaras misi bantuan, berkata pusat pengumpulan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 10 malam ini.

   

Beberapa artis terkenal tanah air seperti Datuk David Arumugam dan Jaclyn Victor turut terlibat dalam menjayakan persembahan amal bagi mengutip derma daripada orang ramai.

   

"Di luar (pusat beli-belah) kita buka booth untuk kumpul barangan dan wang tunai, manakala di dalam pula ada artis-artis akan buat persembahan amal dan penonton pada masa sama boleh beri sumbangan," katanya kepada Bernama.

   

Rosli berkata, wang tunai yang berjaya dikumpul akan diserah kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima dalam satu majlis pada pukul 10 malam ini.

   

"Kami akan bergerak menuju ke pantai timur, menggunakan dua lori, dan beberapa pacuan empat roda untuk menghantar barangan ini awal pagi esok," katanya. - Bernama

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Saturday, December 27, 2014