JKKN edar 8,000 naskah Utusan Malaysia

 

(Ezlina Alias (kanan) mengedarkan akhbar Utusan Malaysia kepada pelancong dari Kedah yang datang berkunjung ke bangunan Stadhuys di Melaka, semalam.)

Orang ramai yang mengunjungi negeri ini hari ini masing-masing disambut dengan pemberian senaskah akhbar Utusan Malaysia secara percuma tajaan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

 

Sebanyak 8,000 naskah akhbar itu diedarkan oleh kakitangan JKKN di sekitar bandar raya ini terutama di kawasan tumpuan pelancong seperti bangunan Stadhuys, Taming Sari, Dataran Pahlawan, institusi pengajian tinggi (IPT), bank-bank dan beberapa tempat lagi.

 

Penajaan akhbar tersebut adalah sempena program Pesta Joget 1Malaysia (PJ1M) yang diadakan di Dataran Dewan Tun Ali, Bukit Katil.

 

Ketua Cawangan Komunikasi JKKN, Ezlina Alias mengetuai tugas mengedarkan akhbar tersebut bermula pukul 10 pagi dan ia diadakan serentak di semua lokasi terlibat.

 

Ezlina ketika ditemui di bangunan Stadhuys berkata, pengedaran akhbar Utusan Malaysia kepada orang ramai bertujuan mempelawa mereka memeriahkan program PJ1M.

 

''Dengan hanya mengedarkan akhbar Utusan Malaysia yang memuatkan rencana mengenai program PJ1M, kita yakin orang ramai akan datang beramai-ramai menyaksikan pelbagai jenis joget dari seluruh negeri yang membuat persembahan,'' ujarnya.

 

Beliau berkata, akhbar itu mula diedarkan kepada orang ramai sejak semalam dan berakhir hari ini.

 

''Kita memilih Utusan Malaysia kerana akhbar ini banyak memberi maklumat kepada orang ramai mengenai pelbagai isu semasa," ujarnya.

 

Turut sama mengedarkan akhbar tersebut ialah kakitangan di Jabatan Pemasaran Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Melaka.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Saturday, December 17, 2011