JKKN Edar 18,573 Bahan Terbitan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 18,573 unit bahan terbitan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) telah diedarkan kepada pelbagai institusi pendidikan negara.

 

JKKN melalui satu kenyataan memberitahu, pemberian bahan tersebut meliputi kepada 1,609 buah sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) dan Perpustakaan Agensi Kerajaan.

 

“Bahan-bahan terbitan JKKN tersebut merangkumi buku, cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD) serta makalah seni budaya. Sehubungan itu satu majlis penyerahan bahan-bahan terbitan JKKN sebagai simbolik kepada pengedaran bahan tersebut akan diadakan pada 15 Mei ini,” kata kenyataan itu.

 

Menurut kenyataan itu, majlis simbolik penyerahan tersebut juga bersempena Festival Hari Guru 2012 yang akan diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford, Kuala Kangsar Perak.

 

Kata kenyataan itu, majlis akan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli serta diserikan dengan penglibatan artis jemputan iaitu Asmidar dan Alif Satar.

Akhbar: 
MyNewsHub
Publish date: 
Sunday, May 13, 2012