Jelajah popularkan Mak Yong

KALAU tak dipecahkan ruyung, mana akan dapat sagunya. Itu peribahasa Melayu yang menuntut kita berkerja keras jika mahu mendapat hasil yang yang baik.

Itu juga yang dilakukan oleh kumpulan Mak Yong Kijang Emas, yang sanggup menjelajah ke seluruh negara bagi mempromosi dan mempopularkan semula seni tradisi itu di kalangan generasi muda terutamanya.

Dalam setiap persinggahan dalam siri jelajah di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu turut diadakan bengkel bagi menurunkan ilmu pementasan Mak Yong itu kepada generasi muda.

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, Mak Yong merupakan satu-satu kesenian rakyat Malaysia yang telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan pada 25 November 2005.

Sejak tarikh pengisytiharan tersebut hingga ke hari ini Mak Yong Kijang Emas di bawah JKKN Kelantan telah menjadi perintis dan merupakan kumpulan yang berjaya dihidupkan dan aktif mengadakan persembahan secara profesional di dalam dan luar negara.

Memandangkan Mak Yong merupakan satu bentuk kesenian tradisional yang hampir dilupakan, maka JKKN mengambil inisiatif bagi meneruskan kesinambungan hayat Mak Yong sebagai genre kesenian kebanggaan rakyat Malaysia.

Oleh itu satu program siri persembahan Jelajah Kijang Emas dan Bengkel Mak Yong telah dirangka di setiap negeri yang dipilih untuk melestarikan warisan tradisional itu supaya terus terpelihara dan dihayati oleh generasi akan datang termasuk di kalangan pelajar IPT.

Siri Jelajah Kijang Emas bertujuan mengangkat dan mengiktiraf kumpulan Mak Yong Kijang Emas dalam mempersembahkan teater tradisional di samping memartabatkan kembali kesenian itu dalam bentuk dan konsepnya yang asal.

Selain itu, JKKN juga giat menjalankan usaha pemupukan dan pemuliharaan kesenian tradisional Mak Yong supaya ia terus dilaksanakan dan diminati oleh generasi muda tanah air. Tambahan pula, JKKN ingin mendekatkan kesenian tradisional Mak Yong kepada masyarakat yang tinggal di luar Kuala Lumpur dan khalayak seni yang tidak pernah berpeluang menontonnya dari dekat khususnya pelajar IPT, sekolah dan peminat teater tradisional untuk menonton persembahan itu secara dekat.

Lebih istimewa, dalam siri penjelajahan itu, para pelajar IPT berpeluang mengikuti bengkel secara percuma dan mendalami pengetahuan serta menambah penghayatan terhadap pementasan teater tradisional yang tertua di negara ini. Menyedari hakikat tersebut, beberapa orang pelajar yang mengikuti bengkel sewaktu ditemui sependapat merasakan bahawa keunikan Mak Yong hanya dapat dirasai apabila sesi mendalami asas tari, lagu dan nyanyian sewaktu mengikuti bengkel.

Apatah lagi adiguru Mak Yong, Ruhani Mohd Zain sendiri memberi tunjuk ajar di samping generasi pelapis seperti Rosnan Rahman dan ahli-ahli kumpulan Mak Yong Kijang Emas sendiri turut sama berkongsi ilmu mereka dengan pelajar terbabit.

Ini ternyata berbeza dengan subjek wajib yang mereka ikuti di Fakulti Teater, Animasi dan Artistik. Lantaran itu mereka tidak mahu melepaskan peluang mengikuti sesi itu dan mengikuti persembahannya pada 12 dan 13 Mei ini.

Bengkel yang bertempat di kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana itu berjaya menghimpunkan 90 peserta termasuk para pelajar UiTM.

Bagi penjelajahan di negeri-negeri lain, Jelajah Kijang Emas akan mengadakan bengkel di Pahang pada 15 dan 17 Mei serta persembahan pada 18 dan 19 Mei ini di Auditorium Kompleks JKKN Pahang.

Sementara itu bagi negeri Johor pula, bengkel akan diadakan pada 13 hingga 15 Jun ini diikuti dengan persembahan pada 16 dan 17 Jun di Sekolah Seni Johor.

Untuk negeri Sabah, bengkel Mak Yong akan berlangsung pada 19 hingga 21 Jun sementara persembahan apda 22 dan 23 Jun di Kompleks JKKN Sabah.

Persembahan Mak Yong pada kali ini berjaya menarik syarikat korporat Jamu Mak Dara untuk turut serta menaja persembahan di Shah Alam, Pahang dan Sabah.

Persembahan Mak Yong itu dipantau dan diuruskan oleh Rosnan Rahman, Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan JKKN yang turut memenangi Anugerah Pelakon Terbaik BOH Cameronian Arts Awards baru-baru ini bagi lakonannya dalam Rebab Berbisik.

Penjelajahan kumpulan Mak Yong Kijang Emas di bawah JKKN Kelantan sebelum ini telah bertandang ke UiTM Shah Alam.

Rombongan pementasan Mak Yong 'Puteri Jerijit Emas' sebelum ini telah berjaya melaksanakan bengkel dan pementasan di beberapa lokasi penjelajahan seperti di JKKN Kedah pada 13 dan 15 Mac lalu dan di Auditorium JKKN Pulau Pinang pada 22 dan 23 Mac.

Semasa persembahan di Pulau Pinang, seorang pelajar dari Korea Selatan yang mengikuti Program Pertukaran Pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM), Ee Young, 23, telah berjaya mendalami Mak Yong ketika mengikuti Bengkel Mengadap Rebab yang dilaksanakan oleh JKKN dengan kerjasama USM.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, May 17, 2012