Jadikan JKKN hentian wajib pelancong

Mohd. Radzi Omar menandatangani plak ketika merasmikan program

Mohd. Radzi Omar menandatangani plak ketika merasmikan program Pusat Seni Budaya Setempat dan Bazar Seni di Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan di Seremban, baru-baru ini.

SEREMBAN 16 Mac – Penggiat industri pelancongan di negeri ini disaran untuk mempertimbangkan Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKN NS) sebagai hentian wajib kepada pelancong bagi menyaksikan persembahan kebudayaan.

 

Pengarahnya, Mohd. Radzi Omar berkata, pelbagai program telah dirangka bagi menarik minat pelancong khususnya dari luar negara untuk menyaksikan persembahan seni budaya yang diadakan secara percuma.

 

“Kita telah mengadakan program Culture Hotspot@Seremban’ atau Pusat Seni Budaya Setempat yang diadakan pada setiap hari Sabtu di Kompleks JKKN NS bagi menarik minat pengunjung tempatan dan juga pelancong dari luar untuk sama-sama mengenali budaya dan adat di Negeri Sembilan.

 

“Justeru saya berharap agar penggiat industri pelancongan se­perti ejen pelancongan dapat mempertimbangkan kompleks ini sebagai persinggahan wajib mereka apabila berada di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Semarak Seni Budaya di sini, kelmarin.

 

Tambah Mohd. Radzi, program tersebut turut memberi peluang kepada kumpulan atau penggiat seni mempamerkan produk yang dihasilkan di samping persembahan kebudayaan yang dipertontonkan kepada pengunjung yang hadir.

 

Menerusi Bazar Seni katanya, sebanyak 20 gerai telah disediakan khusus untuk penggiat seni mempamer serta menjual hasil karya mereka sekali gus berpeluang menjana pendapatan melalui hasil jualan.

 

Sekiranya kedua-dua acara ini dapat dipakejkan sebagai produk baharu, Mohd. Radzi yakin usaha itu mampu memberi manfaat kepada industri pelancongan khususnya di negeri ini.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/jadikan-jkkn-hentian-wajib-pelan...

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, March 17, 2015
Kemas kini terakhir: 18 November 2019, 12:47pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN