Isu pengguna dalam puisi

Kumpulan lawak badan budaya perak dengan persembahan yang mencuit hati.

KEPENTINGAN terhadap isu-isu mengenai kepenggunaan mendapat perhatian kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Justeru, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Perak (PPDNKK) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perak telah menganjurkan Majlis Baca Puisi Kepenggunaan yang berlangsung di Auditorium Taman Budaya Perak di Ipoh baru-baru ini.

Ia diadakan sempena dengan Sambutan Hari Pengguna Peringkat Negeri Perak 2010 yang bertema 'Kuasa Pengguna' 1 Pengguna 1 Suara'.

Program tersebut dimulakan dengan nyanyian lagu-lagu gurindam dan prolog majlis baca puisi oleh para peserta yang menyertai majlis berkenaan.

Mendahului pendeklamator tinggi lampai dari Persatuan Penulis Bandaraya Ipoh (Pintar) Man Sahak. Dia muncul dengan puisi Ramadan Tiba Lagi.

Puisi itu jelas mengingatkan diri kira akan kemunculan bulan Ramadan dalam beberapa hari lagi serta mengamalkan sikap tidak membazir dalam perbelanjaan.

Pelakon dan penyair bersuara lantang, Khalid Salleh dari Kuala Lumpur mencuit hati khalayak.

Dia muncul dengan puisi Tin Silumanesta. Khalid tampil dengan pelbagai gaya santai sambil membaca puisi yang agak panjang itu.

"Saya mengetengahkan gaya hidup orang ternama dan orang bawahan dalam kehidupan seharian. Mereka menggunakan kedudukan masing-masing untuk mencapai tujuan yang mereka cita-citakan, termasuk menindas orang lain," katanya ketika ditemui selepas majlis itu di Ipoh baru-baru ini.

Bagi Khalid, semua itu berlaku pada setiap masa dan kita perlu berhati-hati agar tidak ada yang mengambil kesempatan di atas kelemahan orang lain.

Kumpulan Gemersik dari Persatuan Persebudaya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temenggong Kati, Kuala Kangsar juga tidak ketinggalan dengan puisi dan lagu. Mereka muncul dengan puisi Budaya yang Terlena karya Mizalmi Ahmad.

Kehangatan deklamasi itu ditampilkan dengan Pengarah PPDNKK, Mokhtar Sulaiman yang muncul dengan puisi Entah Dimana Silapnya.

Puisi itu jelas mengingatkan kepada pengguna mengenai kuasa pengguna, cetak rompak dan belilah barangan buatan Malaysia.

Pendeklamator yang pernah menjadi johan Sayembara Puisi peringkat negeri, Suhaimi Zubir menyemarakkan majlis dengan puisi Kambing Hitam.

Dengan nada yang lantang beliau mahukan pengguna tidak menjadi mangsa orang lain.

Pengarah JKKN, Abdul Mutalib Abdul Rahman yang sebelum ini bersikap mendiamkan diri muncul menyerikan malam itu dengan puisi Aku dan Gula'.

Puisi pendek itu mengingatkan tentang bahayanya jika mengambil gula dengan berlebihan yang boleh memudaratkan kesihatan diri.

Menutup tirai malam khalayak dihiburkan dengan persembahan sketsa Pengguna Bermaklumat Negara Bermanfaat oleh Kumpulan Badan Budaya Perak.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Friday, August 20, 2010