Isteri TPM Serikan Konsert Ekstravaganza Caklempong 2016

SEREMBAN, 20 Mei (Bernama) -- Konsert Caklempong Ekstravaganza 2016 yang berlangsung selama dua jam malam ini dan disertai oleh pemain alat muzik tradisional itu dari seluruh Negeri Sembilan, diserikan dengan kehadiran isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Hamidah Khamis.

Hamidah yang tiba pada pukul 8.15 malam disambut oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS) Mohd Radzi Omar.

Acara dimulakan dengan nyanyian Negaraku dan sejurus selepas itu dan kira-kira 567 orang hadirin disajikan dengan alunan lunak runut bunyi Caklempong.

Konsert itu turut menyajikan persembahan menarik daripada artis terkenal tanah air serta persembahan kebudayaan Negeri Sembilan oleh penari kebudayaan JKKNNS.

Konsert Caklempong Ekstravaganza 2016 ini merupakan acara tahunan kebudayaan Negeri Sembilan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya bertujuan untuk mengangkat dan memartabatkan muzik tradisional Caklempong yang merupakan salah satu identiti negeri beradat ini.

Persembahan tahun ini menggabungkan Caklempong dan alatan muzik moden lain yang disertai seramai 30 pemuzik.

Ia turut diserikan dengan persembahan artis Papa Rock Datuk Ramli Sarip, Datuk Khadijah Ibrahim, Farawahida dan Genji Buskers.

--BERNAMA

Author: 
Isteri TPM Serikan Konsert Ekstravaganza Caklempong 2016
Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Friday, May 20, 2016