Inspitari

JOGET PERAN – PERLIS
Peran adalah watak pelawak bertopeng yang menyerikan persembahan kesenian Hadrah yang cukup sinonim dan terkenal di negeri Perlis. Peran akan bergandingan bersama-sama penari dalam persembahan Hadrah dan kehadiran Peran dalam sesebuah persembahan Hadrah amat dinanti-nantikan keran Peran akan menghiburkan penonton dengan pelbagai telatah yang melucukan. Joget Peran menyaksikan dominasi karektor peran menari dengan penuh bertenaga disamping bergurau senda dengan penari wanita dangan aksi yang lucu bagi mencuit hati mengikut paluan dan irama lagu asal Hadrah yang berjudul Om Pasa Ya Rey.
 
 
RONGGENG PAK UNGKU– KEDAH
Karya baharu ini diadaptasikan daripada Joget Sepak dan dinamakan Ronggeng Pak Ungku. Perkataan ‘Ronggeng’ bermaksud bertandak atau berjoget dengan diiringi alat muzik asas seperti biola, gendang dan gong. Perkataan Pak Ungku pula merujuk kepada almarhum Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tercetusnya ilham tarian ‘Ronggeng Pak Ungku’ ini adalah berdasarkan salah satu hobi beliau iaitu beronggeng. Beronggeng juga merupakan salah satu kesenian yang sering dilakukan oleh masyarakat melayu pada ketika dahulu. Gerak tari karya baharu ini telah diolah namum masih mengekalkan struktur asas pergerakan Joget Sepak. Tarian ini telah diangkat supaya kesenian melayu tidak ditelan zaman selain mengenali seorang tokoh serta menyanjungi jasa-jasanya.
 
 
IKTISYAF - PULAU PINANG
Iktisyaf bermaksud penemuan di dalam bahasa Arab. Penemuan didefinasikan juga sebagai penemuan kepada Ghazal Pharti, Hadrah dan Tarian Joghee yang digabungkan untuk merealisasikan karya baharu ini. ‘Iktisyaf’ menggambarkan tentang kehidupan pedagang Arab yang dating berdagang ke Tanah Melayu, ia ditarikan berdasarkan gerak kapal yang sedang belayar dan ombak-ombak di lautan.
 
 
CUPAK HANYUT – PERAK
Merupakan sebuah tarian olahan baru yang digarap dari sebuah tarian sukuan/daerah negeri iaitu Tarian Lenggok, daerah Bagan Datoh, Perak. Satu idea koreografi tari yang diberi sentuhan segar dengan variasi ragam asal kepada gerak ragam baruyang masih mengekalkan cirri-ciri Tarian Lenggok. Ragam turut menggabungkan gerak simbolik cupak (bekas untuk menyukat) yang bergerak berlenggok-lenggok terapung di permukaan air. Pola lantai dan aras kedudukan penari dipelbagaikan bagi mewarnai corak persembahan asal yang hanya menari duduk setempat. Walaupun tarian asalnye sebuah tarian yang di tarikan di dalam istana oleh penari wanita, koreografer cuba untuk mengubah tarian ini menjadi sebuah tarian rakyat yang turut ditarikan oleh penari lelaki yang peranannya sebagai pemain rebana ketika tarian ditarikan.
 
 
TARIAN INANG SI KUNANG-KUNAG  – SELANGOR
Pada tahun ini, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor akan mempersembahkan tarian ciptaan baharu yang bertajuk ‘Tari Inang Si Kunang-Kunang’ dan mempamerkan tema pergaulan dan asmara dalam gerak tarinya. Ragam tari karya baharu ini menonjolkan gerak tari lemah-gemalai si teruna dan si dara di mana adat dan sopan masih terus dipelihara. Apa yang jelas dalam gerak tari tarian Si Kunang-Kunang ini adalah kami mempamerkan setiap perincian pergerakkan kunang-kunang atau lebih dikenali dengan kelip-kelip. Bagi menambahkan keindahan tarian ciptaan baharu ini maka lagu Hati Si Kunang-Kunang diilhamkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Selangor.
 
 
JOGET KASIH LRT – WP KUALA LUMPUR
Joget kasih LRT merupakan satu bentuk tarian ciptaan baharu. Tarian ini diilhamkan daripada suasana di sekitar stesen kereta api yang sentiasa sibuk dengan ribuan manusia yang ingin menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam itu. Karya ini disuntik dengan elemen percintaan antara uda dan dara untuk menjadikannya lebih menarik. Keunikan Joget Kasih LRT ini dapat dilihat daripada corak persembahannya yang menggunakan gerak dan langkah asas joget yang diolah mengikut henjutan kaki dan putaran tangan seperti mengikut roda kereta api. Irama dan rentak juga diolah mengikut kesesuaian gerak tari bagi menguatkan lagi jalan cerita dan gerak tari Joget Kasih LRT.
 
 
RANDAI GELOMBANG CINDAI – NEGERI SEMBILAN
Randai Gelombang Cindai merupakan gabungan persembahan Randai dan Cindai yang merupakan salah satu senjata dari silat melayu. Pergerakan Randai Gelombang Cindai tercetus hasil dari olahan buah pukul dan buah mati cindai dengan menggunakan selendang atau kain pelikat. Proses asimilasi budaya dari Minangkabau ini diberi nafas baharu dari segi struktur persembahan, kostum, pola lantai dan pergerakan. Tarian ini menggunakan selendang berwarna kuning sebagai alat utama yang dibentuk menyerupai senjata cindai.
 
 
ASLI REKAS – MELAKA
Asli Rekas merupakan tarian asli karya baharu yang diinspirasi dan direka cipta berdasarkan lagu “Pai Bunga Rampai” ciptaan Rahmat Arshad, seorang pemuzik tempatan dan pengembang kepada permainan Rebana Keras di Melaka. Rekas merupakan gabungan dari Rebana Keras iaitu alat muzik yang mengiringi tarian ini dan kebiasaannya lagu ini dimainkan untuk mengiringi dan meraikan pasangan mempelai di hari perkahwinan. Tarian ini ditarikan secara berpasangan antara lelaki dan perempuan, manakala pergerakannya ditumpukan pada gerakan kaki mengikut rentak pukulan Rebana Keras. Selendang digunakan bagi mencipta gerak tari yang memperlihatkan proses memikat, bercinta seterusnya ikatan yang membawa ke jinjang pelamin.
 
 
INANG JAUHAR – JOHOR
“Inang Jauhar” ialah sebuah tariankarya baharu di bawah genre Tarian Rakyat. Karya ini diiringi seloka uda dan dara di mana muzik tarinya berasaskan dari lagu Ghazal Johor yang berentak inang. Tarian ini ditarikan secara berpasangan dan dicipta berdasarkan asimilasi budaya; yang sebelum ini lagu ghazal mirip kepada irama lagu Hindustan dan Parsi. Gerak tarinya pula diadaptasikan dari tari inang dan pergerakkan tangan yang dilakukan menjadi perlambangansesuatu gerak atau makna.
 
 
KEMAHANG – PAHANG
Kemahang merupakan sejenis tumbuhan yang dikenali sebagai keladi atau nama saintifiknya colocosia esculenta. Garapan karya baharu ini berasaskan dari gerak tari dan muzik gamelan namun deserapkan identiti tumbuhan ini dalam bentuk kontemporari tetapi masih mengekalkan cirri-ciri kesopan dan adap ketimuran. Keindahan liuk lentuk serta lemah gemalai ragam tari tergambar di dalam penghasilan karya ini.
 
 
HADDAT – TERENGGANU
Haddat merupakan gabungan dua perkataan iaitu Hadrah dan Rodat; hadrah merupakan nama kitab yang mana isi kandungannya dinyanyikan dalam lagu-lagu Rodat, manakal Rodat pula ialah nama kesenian rodat itu sendiri. Haddat menggabungkan tiga elemen penting dalam persembahan rodat iaitu tarian, muzik dan nyanyian. Haddat menggambarkan tentang bagaimana sekumpulan masyarakat menggayakan setiap lenggok tari mewujudkan suasana mengasyikkan, riang dan harmoni. Penumpuan gerak bahu ditekankan di dalam tarian ini selain daripada kesungguhan para penari menyanyi dan memukul tar rodat diberi keutamaan.
 
 
TARI INDERA WATI – KELANTAN
Tari Indera Wati adalah hasil garapan cerita lagenda burung Petala Indera dan burung Petala Wati yang cukup sinonim di negeri Kelantan. Aspek kepahlawanan adalah elemen utama dalam keseluruhan karya tari ini. Pergerakkan siap sedia dan helah turut digunakan dalam membantu mengesankan lagi jalan penceritaan dalam tarian ini sebagai lambang keberanian dan ketangkasan walaupun penuh godaan dan rintangan. Tari Indera Wati menyelitkan elemen gerakan burung, silat, tari Kelantan, Makyong, Menora, Asyik dan Wayang Kulit. Konsep taat setia diolah dan dipersembahkan untuk menggambarkan Petala Indera dan Petala Wati akur pada pemerintah negeri dan ianya menjadi kemuncak pada persembahan ini.
 
MENYAK – SARAWAK
Tarian ini menggambarkan kehidupan masyarakat suku kaum Melanau yang hidup dipersisiran pantai Negeri Sarawak. Kegiatan harian mereka ialah menangkap ikan dan juga membuat sagu. Sagu merupakan salah satu makanan ruji bagi masyarakat  suku kaum Melanau pada zaman dahulu. Gerak tari di dalam tarian ini menggambarkan kegiatan masyarakat suku kaum Melanau bekerjasama dalam menghasilkan sagu dari proses memotong pokok rumbia, mngikis serta menginjak untuk mengeluarkan intinya yang dikenali sebagai Tepung Lemantak sehingga terhasilnya sagu. Di dalam tarian ini juga, menggambarkan semangat kerjasama antara lelaki dan wanita bekerja dalam keadaan harmoni dan gembira dalam melaksanakan aktiviti memproses sagu.
    
 
ILUK SEMANDAK - SABAH
Iluk Semandak atau tarian anak dara daripada suku kaum  Tidong Tawau mempamerkan kepakaran mereka menari di atas piring atau ‘lalai’. Tarian ini mengisahkan kesanggupan wanita tersebut untuk menjadi pasangan hidup si lelaki. Manakala si lelaki pula perlu menguji wanita tersebut dengan meletakkan piring ke lantai dan menelangkupkan piring tersebut sebagai syaratnya, kemahiran, kecekapan dan keseimbangan wanita tersebut menari dan bergerak dari satu piring ke piring yang lain menjadikan si lelaki berbesar hari untuk menjadikan wanita tersebut pasangan hidup selamanya.
 
 
ZAPIN RAO – IBU PEJABAT
Zapin Rao diilhamkan dari lagu tarian Zapin Raub yang termasyhur di Raub, Pahang suatu masa dahulu. Ia mula ditarikan sekitar tahun 1930-an dan diasaskan oleh En Hamzah bin Alias; seorang penggiat seni tari Zapin Raub. Zapin Rao mempunyai keunikan tesendiri apabila terdapat beberapa pergerakan yang menarik antaranya ragam tari genggam tangan, ragam tari tending megah yang berperanan untuk menarik perhatian kaum wanita. Tarian ini menggambarkan suasana keriangan dan kelincahan penari secara berpasangan tetapi masih lagi mengekalkan asas gerak tari Zapin Raub itu sendiri.
 

INANG BATIL – PERLIS
Ciptaan tarian ini diilhamkan melalui penglipur lara ‘Awang Batil’. Gerak tari yang dipersembahkan berasaskan gerak tari inang yang telah diubahsuai agar lebih rancak dan bertenaga. Gerak liuk bahu, berkesot dan pukulan batil antara elemen baharu yang diterapkan dalam gerak tari ini. Begitu juga dengan senikata yang terdapat di dalam tari ini, seni kata asal daripada nyayian Awang Batil itu sendiri yang berbunyi ‘Hey’. ‘Hey’ adalah satu identiti awang batil. Bahasa yang digunakan merupakan bahasa ‘Perlis Lama’ yang jarang sekali di tuturkan oleh masyarakat dan rakyat negeri Perlis.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan persembahan ‘Awang Batil’
 
TARI JELAPANG – KEDAH
Gerak tari yang tercetus daripada rutin dan perlakuan pesawah menjalankan aktiviti di sawah padi. Penari-penari berlakon/berperanan sebagai watak-watak yang terdapat dalam ‘Mitos Semangat Padi’.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan ‘Mitos Semangat Padi’.
 
LANCA  - PULAU PINANG
Tarian ini mengisahkan kehidupan Penarik Lanca yang berkerja di sekitar bandar Georgtown, Pulau Pinang. Ia berkisar dengan suasana sebelum memulakan pekerjaan, keadaan semasa mencari penumpang (pelanggan) dan suasana selepas habis bekerja.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan aktiviti Penarik Lanca sekitar tahun 1950-an
 
 
SERI GAMBUS CHANGKAT – PERAK
Sebuah koreografi tari yang diberi sentuhan segar dari sebuah tarian sukuan/daerah negeri iaitu Gambus Kampung Padang Changkat, Kuala Kangsar Perak. Pola lantai dikembangkan dari kedudukan asal penari yang menari dalam dua barisan kepada beberapa formasi. Variasi ragam asal menjadi satu gerak tari yang baru namun keaslian tradisi tetap dijaga.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan ‘Tarian Gambus Kampung Padang Changkat’.
 
ZAPIN CEMARA –SELANGOR
Tarian Zapin Bugis dipilih untuk inspitari 2012 kerana lagu dan gerak tarinya amat berbeza dengan Zapin Johor dan Zapin Pahang. Tarian ini mempunyai keistimewaan dan keunikan dalam setiap gerak yang lebih baru dan segar. Pola lantai akan diolah bagi memperkembangkan gerak dan posisi dalam pelbagai bentuk dan ragam. Berpandukan lirik, lagu dan kesesuaian serta melalui penyelidikan dan praktikal tarian yang dijalankan maka terhasillah tarian ciptaan baru yang diberi nama Zapin Cemara. Justeru, keaslian muzik masih dikekalkan tetapi melodi dan senikatanya diubah agar seiring dengan peredaran zaman.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan ‘Tarian Zapin Bugis’.
 
 
ZAPIN WOYE – WP KUALA LUMPUR
Merupakan gabungan dua elemen persembahan yang berbeza menjadi satu persembahan pentas yang unik dan baru. Berbeza dengan persembahan wayang kulit tradisi, Zapin Woye ini tidak menggunakan kelir iaitu layar yang diperbuat daripada kain putih. Keunikan Zapin Woye ini dapat dilihat dari corak persembahannya yang menggunakan gerak dan langkah zapin yang diolah mengikut liuk patah seni patung wayang kulit. Irama dan rentak juga telah diolah dan digabungkan mengikut kesesuaian gerak tari bagi menguatkan lagi persembahan Zapin Woye.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan hasil gabungan ‘Zapin’ dan ‘Wayang kulit’.
 
 
TARI PIRING LAMBONG – NEGERI SEMBILAN
Sebuah koreografi tari yang diberi sentuhan baru dan segar dari sebuah tarian Minangkabau, Sumatra Barat, Indonesia. Ciptaan baru tarian ini berkonsepkan tarian rakyat serta memperlihatkan ciri-ciri budaya masyarakat di Negeri Sembilan dari perspektif muzik. Ia direka berdasarkan Tarian Piring yang sedia ada kemudian diolah mengikut citarasa terkini dan menonjolkan ciri-ciri tersendiri.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan ‘Tarian Piring’ yang berasal daripada Minangkabau, Sumatra Barat, Indonesia.
 
 
INANG BUKIT CINA – MELAKA
Tarian Inang Bukit Cina merupakan inang ciptaan baru yang memperlihatkan gaya gerakan inang baru yang ditari mengunakan bim poh (sapu tangan). Gerakan lenggok inang dan geraknya terdapat perbezaan dari tari lenggok Inang Melayu. Ini kerana terdapat proses asimilasi budaya cina yang di percayai wujud dan dibawa oleh Puteri Hang Li Poh sebelum berkembangnya perkahwinan campur antara masyarakat Melayu & Cina. Tarian ini diolah, dikembangkan dan disesuaikan semula, dan ditarikan secara berpasangan antara lelaki dan perempuan. Bim poh menjadi pengikat kasih antara dua cinta seperti satunya dua hati Puteri hang Li Poh dan Sultan Mansur Shah dan Bukit Cina menjadi tempat pengikat kasih saying mereka.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan ‘Tari Lenggang Sapu Tangan’.
 
 
TARI MASADEKA – JOHOR
Merupakan satu lagi tarian ciptaan baru yang menjurus kepada tarian ‘folk Dance’ iaitu tarian rakyat. Ianya telah dieksplorasi dari persembahan Hamdolok di daerah Batu Pahat, Johor. Tarian ini mencerminkan keceriaan sebuah masyarakat yang bersyukur terhadap kurniaan keamanan dan kegembiraan. Tari Masadeka ini menggunakan paying dan tongkat sebagai alatan(props) bagi mengekalkan cirri-ciri persembahan Hamdalok sebagai symbol kesejahteraan dalam hidup masyarakat. Penerapan elemen-elemen tari Timur Tengah seperti Defey membantu memperindahkan lagi persembahan ini di samping penyusunan semula muzik yang segar dan indah. Semoga karya ini dapat menarik dan memupuk minat generasi masa kini mencintai akan seni khazanah warisan bangsa kita agar tidak di telan zaman. Tarian ciptaan baru ini iaitu ‘TARI MASADEKA’ sesuai ditarikan dalam acara-cara keraian.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan berdasarkan seni persembahan ‘Hamdalok’.
 
 
MOH MUTIK TEH – PAHANG
‘Moh Mutik Teh’ merupakan koreografi baru yang direka khas dan diadaptasi dari aktiviti harian penduduk tanah rata atau tanah tinggi di Cameron Highland. Tari yang diberi nama ‘Moh Mutik Teh’ ini dipetik dari loghat negeri Pahang di mana ‘Moh’ merujuk kepada ‘Mari’, ‘Mutik’ bermaksud memetik ‘Memetik’. Manakala ‘THE’ pula merujuk kepada ‘DAUN TEH’. Aktiviti kerjasama, kecerian dan suka-duka dikalangan masyarakat pemetik teh diterapkan dalam tarian ini.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan bersandarkan aktiviti seharian pemetik the.
 
 
TEDUNG – TERENGGANU
Tarian Tedung di angkat dari kesenian ‘SABA’. Kesenian ini dahulu di gunakan sebagai salah satu perantaraan perubatan. Tarian Anak Tedung adalah salah satu kesenian yang digunakan dalam persembahan kesenian ‘SABA’ yang mempunyai peranan tertentu. Dalam perubatan ini, anak tedung digunakan sebagai symbol yang diamanahkan untuk mengeluarkan penyakit yang terdapat pada pesakit.
 
Nota : Tarian yang diilhamkan bersandarkan ‘Persembahan Kesenian SABA’.
 
 
DIKIR 3D – KELANTAN
Tarian ini menceritakan suasana masyarakat setempat di Kelantan yang hidup dalam harmoni berbekalkan semangat kerjasama dan perpaduan yang erat. Tarian ini menggabungkan tiga dikir tradisional yang terdapat di Negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Dikir Laba, Dikir Rebana Kercing dan Dikir Barat (kreatif). Dikir Laba hanya menggunakan paduan suara yang di susuli dengan ‘Jerit Musang’ tanpa menggunakan sebarang alat muzik, sementara Dikir Rebana Kercing pula dinyanyikan dan ditarikan sambil berdiri mengikut rentak alunan muzik. Persamaan bagi kedua-dua dikir ini, ia dinyanyikan dalam bahasa Parsi dialek Kelantan. Dikir Barat pula dipersembahkan secara bersila dengan pergerakan tangan bertepok yang disulam sahut menyahut. Persamaan 3 genre dikir ini ialah mempunyai Tukan Karut, Tok Juara dan Awak-awak. ‘Dikir 3D’ ini diangkat dan diberi nafass baru tanpa meninggalkan elemen-elemen penting dalam ketiga-tiga dikir ini.
 
Nota : Tarian yang menggabungkan ‘Dikir Laba’,’Dikir Rebana Kercing’ dan ‘Dikir Barat (kreatif)’.
 
AJAT SIRAT – SARAWAK
Tarian ini menggambarkan keadaan semasa sambutan Hari Gawai yang disambut oleh masyarakat Iban di Sarawak. Orang lelaki dan perempuan akan memakai ‘Sirat’. ‘Sirat’ menjadi lambang salah satu kesenian yang menjadi kebanggaan pada masyarakat Iban dan merupakan tenunan kain ’pua’. Tarian ini juga menggambarkan budaya masyarakat Iban yang telah ditransformasikan dalam bentuk seni tari seperti aktiviti menenun kain ‘pua’, makan sirih, ritual ‘mengap’ dan ‘miring’ yang dilakukan oleh ‘lemambang’ di dalam rumah panjang untuk meminta restu dari roh nenek moyang dan ‘petara’ mereka agar sambutan perayaan Hari Gawai akan berjalan lancer dan menandakan bermulanya sambutan perayaan Hari Gawai. Di dalam koreografi tarian ini juga ditampilkan elemen anyaman rotan masyarakat Iban iaitu ‘pusar tepus’ yang menjadi simbol perpaduan, kesetian dan ‘Segulai Sejalai’ atau kesatuan masyarakat Iban.
 
Nota : Tarian yang diinspirasikan dari ritual sambutan Hari Gawai.
 
SELINDANG COCOS - SABAH
Berasal daripada Tarian Melenggok; salah satu tarian daripada etnik Cocos di Kg. Cocos, Tawau. Penari melenggok mengunakan selendang yang diibaratkan seperti laying-layang ditiup angin. Selindang Cocos merupakan sebuah tarian ciptaan baru dimana tarian ini hanya lelaki menggunakan ‘selendang’ yang disilangkan di belakang. Hujung selendang dipegang dan dihayunkan mengikut lenggok penari lelaki. Wanita berperanan melengkapkan pasangan lelaki. Lenggok si lelaki bersama wanita dan dibantu dengan selendang yang dipakai oleh lelaki mewujudkan kasih dan saying.
 
Nota : Tarian yang dinspirasikan daripada ‘Tarian Melenggok’ dalam rumpun etnik Cocos di Kampung Cocos, Tawau.
 
 
TINGKAH – IBU PEJABAT
 
Biasanya dipersembahkan sewaktu majlis perkahwinan masyarakat Boyan (Bawean). Penari akan berada dalam satu atau dua barisan. Penyanyi dan pemain kompang akan duduk di barisan belakang. Lagu-lagu yang diperdengarkan adalah lagu-lagu selawat ke atas Nabi Muhammad SAW. Namun, di dalam gerak tari Tingkah ini, pengembangan gerak dan pola lantainya diberi suntikan baru bersesuaian dengan situasi dan peredaran masa. Gubahan irama yang berunsurkan gurindam dan seloka di padankan dengan gerak asas tari kercingan dan zamrah yang merupakan suatu bentuk tari tradisi yang popular dikalangan masyarakat Boyan.
 
Nota : Tarian yang dinspirasikan daripada kesenian ‘Kompang Boyan’ yang berasal dari masyarakat Boyan, Pulau Bawean.