HImpunan Seni Terengganu

KUALA TERENGGANU 1 April - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Gabudaya Terengganu mengambil inisiatif menganjurkan Himpunan Seni Terengganu, di sini baru-baru ini.

 

Bermotifkan usaha melestari dan memulihara kebudayaan dan kesenian serta warisan negeri, program itu dikatakan mengumpulkan kira-kira 500 aktivis seni terlibat dengan pelbagai persembahan dan demonstrasi seni warisan.

 

Program selama tiga hari di Dataran Batu Buruk yang seakan mengisi slot musim cuti sekolah, mungkin juga boleh dianggap sebagai permulaan baharu bagi menyuntik semangat para penggiat agar kembali aktif memperba­nyakkan aktiviti.

 

Program itu diharap dapat menghilangkan kelesuan dan ketandusan kegiatan seni tempatan kerana mereka hanya sekali sekala kelihatan sebagai pengisi acara yang lebih dikaitkan dengan pelancongan manakala penampil­an dan persembahan pula seakan ‘sekadar ada’ mengisi rutin kegiat­an tahunan.

 

Mengisi atur cara termasuklah persembahan kompang formasi, gamelan Melayu, rodat, dikir barat, silat kura-kura, silat tari jatuh, ta­rian saba, main puteri, tarian balai, ulik mayang, joget peranakan Terengganu, wayang kulit di sam­ping permainan tradisional seperti gasing uri, wau naik, sepak raga ratus, dam aji dan galah panjang.

 

Berucap merasmikan program itu, Timbalan Pengerusi II Jawatan­kuasa Pelancongan dan Kebuda­yaan negeri, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata, usaha pemulihan kesenian negeri tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada para penggiat seni.

 

Ruang untuk mereka cuba diperbanyakkan dengan pertambahan program di dalam Kalendar Pelancongan Negeri 2015 seperti Pertandingan Gamelan Sekolah-sekolah Negeri Terengganu, Himpunan Seni Terengganu 2015, Pekan Budaya Daerah dan Persembahan Hujung Minggu Daerah.

 

Malah, turut dirancang Festival Peranakan Terengganu, Pertan­dingan Pelita Raya, World Intercontinental Islamic Festival, Pesta Pantai Terengganu, Pertandingan Gamelan Kebangsaan dan Festival Gamelan Sedunia, selain mengambil inisiatif dengan menyelitkan elemen-elemen kebudayaan di da­lam setiap program-program pe­lancongan.

 

“Adalah diharapkan wujudnya badan-badan kebudayaan, ke­senian dan warisan di setiap daerah dapat menggerakkan mekanisme melalui program-program termasuk penglibatan di dalam Pekan Budaya Daerah, Persembahan Hujung Minggu Daerah dan pertan­dingan berbentuk kebudayaan,” ujarnya.

 

Tambah beliau, badan induk kebudayaan negeri iaitu Gabudaya Terengganu bakal diperkasakan sebagai pencetus kepada ke­langsungan kesenian, di samping mempereratkan jalinan sesama para penggiat seni serta mewujudkan piawaian kepada penonjolan seni yang lebih kreatif.

 

Sempena Himpunan Seni yang lebih terarah kepada persembahan pentas dan permainan tradisi itu, turut diadakan bengkel kecil bagi membincangkan hala tuju kebudayaan Terengganu yang mencakupi perspektif seni dan budaya lebih luas.

 

Pengarah Pusat Kesenian Uni­­versiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Shahar Sa’di Hashim menegaskan betapa perlunya warga seni berkualiti, dikenali dalam bidangnya yang hasilnya dapat dilihat, didengar, dirasai dengan ke­kaguman dan apresiasi yang tinggi.

 

Dalam berkarya katanya, satu anjakan paradigma perlu dilakukan bagi mengolah secara lebih kreatif, mengangkat lagi keindahan dan keunikan suatu karya ke­rana seni bukan suatu yang statik, dan harus berkembang.

 

Justeru perlu disesuaikan de­ngan tuntutan semasa termasuk menyelusuri dasar kerajaan negeri melalui transformasi Terengganu Baharu, dengan hasil yang memikat dan dihormati.

 

Seorang lagi anggota panel, Abdul Mubin Ismail yang juga Timbalan Yang Dipertua Gabudaya berpendapat, hala tuju kebudayaan seharusnya menjurus kepada slogan negeri Cantik dan Budaya Menarik yang dicanangkan oleh kerajaan negeri sekian lama.

 

Bagaimana untuk mencantik dan menjadikannya lebih menarik? Tentunya urusan ini perlu diterajui oleh kalangan yang tahu apa ertinya budaya, mesra budaya dan cintakan budaya bangsanya.

 

“Budaya tidak harus dilihat sebagai aktiviti sampingan mengisi luang dan kelihatan bermain-main tetapi menyemarakkannya dalam segenap ruang lingkup kehidupan untuk mencerminkan masyarakat dan negeri berbudaya, bertunjangkan warisan bangsanya.

 

“Selain seni persembahan itu, di mana kedudukan bahasa kita, seni bina kita, seni sastera kita, seni ukiran dan pembuatan yang lain? Kita bukan sahaja perlukan penggiat, tetapi pemikir, perancang dan teraju yang benar-benar mahu melihat negeri berbudaya yang menyumbang ke arah ketamadunan bangsanya,” ujarnya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/terengganu/himpunan-seni-terengg...

Author: 
Tengku Fauziah Ngah
Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Thursday, April 2, 2015
Kemas kini terakhir: 20 November 2019, 08:08pm
Facebook JKKN Instagram JKKN Youtube JKKN Twitter JKKN RSS JKKN