Hambat ikan di Hulu Terengganu makin dikenali

 
  • Rezeki musim kemarauPesta mengambat ikan.
 1 / 1 

HULU TERENGGANU - Pesta mengerau atau menghambat ikan mungkin agak asing bagi segelintir individu namun aktiviti itu merupakan antara acara tahunan dan popular bagi penduduk di Hulu Terengganu pada musim kemarau.

Paras air sungai yang mulai cetek menyebabkan penduduk setempat mengambil kesempatan menangkap ikan terutama di kawasan yang dikenal pasti sebagai lubuk ikan di sepanjang Sungai Berang di sini.

Kini acara yang menjadi 'pesta wajib' daerah itu makin dikenali dan rancak dianjurkan oleh pelbagai jabatan dengan kerjasama penduduk setempat untuk merasai sendiri pengalaman serta kemeriahan aktiviti komuniti di daerah itu.

Seorang penduduk Sudin Yasin, 46, berkata aktiviti ini dilakukan secara berkumpulan sekurang-kurangnya 20 orang yang dikenali sebagai ngerau (mengerau) dan lokasinya ialah kawasan lubuk ikan di sungai, biasanya dilakukan pada musim kemarau atau ketika paras sungai cetek.

Katanya antara peralatan yang digunakan ialah buluh yang dibelah dua dengan panjang antara dua hingga tiga meter, tangguk dan jala.

"Sebelum aktiviti ngambat dimulakan, kami kena kenal pasti lubuk ikan, setelah berpuas hati barulah kami masuk dan kumpulan tadi kami akan pecahkan kepada dua iaitu sebagai tukang hambat dan tukang kepung.

"Tukang hambat terlebih dahulu akan berada di sebelah hulu dengan jarak tertentu dan akan berjalan beramai-ramai mengikut arus sungai menuju ke kawasan kepungan sambil membuat bising dengan memukul permukaan air," kata Sudin kepada Bernama.

Menurutnya tindakan ini perlu dilakukan dengan pantas agar ikan yang sudah memasuki kawasan kepungan pukat tidak terlepas dan satu jala lain akan terus ditebarkan ke arah kumpulan ikan tersebut sebelum memungut ikan yang tersangkut pada jala.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Terengganu, Zaifri Husin berkata, acara tradisi penduduk kampung itu amat unik dan menarik serta mempunyai nilai komersial yang tersendiri dan menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan jabatan itu.

"Aktiviti seperti ini yang mempunyai keunikan tersendiri dan berbeza dengan memancing ikan di laut mahupun di kolam. Bagi masyarakat bandar, aktiviti ini sangat menarik," katanya. - Bernama

 

Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Thursday, April 23, 2015