Hairi bersilat dalam Badang

Program Semarak Bangsawan 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diakui menarik kerana mengetengahkan naskhah klasik buat tatapan generasi kini.

Bermula Mac lalu, peminat teater genre bangsawan disajikan dengan teater Kemala Sakti Kesuma Ningrat, Jula Juli Bintang Tujuh, Puteri Selindungan Bulan, Bidasari dan Mahsuri.

Kini hanya tinggal per–sembahan akan berlangsung dan terbaru penonton berpeluang menyaksikan pementasan teater Badang terbitan Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA) di Auditorium DBKL mulai malam ini hingga Ahad ini.



Teater tulisan Roydy Anuar Eddy Sauly dan arahan M Nasri Ayob ini menampilkan barisan pelakon lulusan ASWARA iaitu Shahrul Mizad Ashaari, Juhara Ayob, Syed Atiq Wan Long, Eliza Mustafa, Hairi Safwan serta ramai lagi.



Biarpun cerita Badang pernah dihasilkan dalam bentuk filem klasik pada 1962, garapannya dalam bangsawan dihidangkan dalam bentuk berbeza termasuk penceritaan bagi tatapan penonton.



Penggunaan bahasa serta lenggok pertuturan paling dititikberatkan agar tidak lari daripada konsep asal bangsawan yang kini semakin terpinggir ditelan arus kemodenan.



Badang mengisahkan seorang pemuda bernama Badang yang semakin tamak dengan kekuatan yang dimilikinya berjumpa dengan Raja Jin dan meminta khasiat muntah untuk menjadikan dirinya kebal.



Belum sempat Raja Jin memberikan pantang larang, Badang terus pergi. Dengan kekuatan yang dimiliki, Badang diangkat menjadi Raja Muda Mahkota Langka Puri kerana membantu meng–alihkan batu besar yang menghalang pemandangan istana.



Tambahan pula Sultan Naim Syah juga tidak mempunyai cahaya mata.



Sejak bergelar Raja Muda Mahkota, Badang meng–kucar kacirkan keadaan negeri Langka Puri sehingga menyebabkan Sultan Naim Syah mangkat dan akhirnya Badang ditabalkan menjadi Raja Badang.



Raja Badang terus membuat onar dengan meminta ufti bunga emas daripada semua negeri di bawah jajahannya.



Dalam masa yang sama Raja Badang mengetahui bahawa Sultan Arham Indera dari negeri Cempara Permai mempunyai seorang puteri yang cantik jelita iaitu Puteri Seri Nilam Cahaya.



Walaupun mengetahui Puteri Nilam Cahaya itu adalah tunangan kepada Tengku Muda Alam Perkasa, Raja Badang berkeras mahu menjadikan Puteri Nilam Cahaya sebagai isterinya. Sekiranya Sultan Arham Indera menolak, maka Raja Badang mengisytiharkan perang di antara dua kerajaan bersaudara.



Sultan Arham Indera dan seluruh istana Cempara Permai berasa gelisah dengan perkhabaran itu, lalu baginda meminta bantuan Tengku Muda Alam Perkasa menggunakan tipu muslihat untuk menewaskan Raja Badang.



Hairi yang melakonkan watak Tengku Muda Alam Perkasa, berharap peminat hadir menyokong pementasan ini nanti.



“Saya pernah menonton filem Badang sekali gus faham jalan ceritanya. Menerusi watak ini, saya cuba tampilkan permainan seni silat Melayu yang menarik.



“Ramai yang tak faham permainan silat untuk per–sembahan dan permainan di gelanggang sebenarnya berbeza. Saya pentingkan aspek itu agar ia tak nampak kekok dan cacat.



“Walaupun sukar untuk berikan komitmen penuh untuk latihan kerana jadual berlakon yang padat, saya berjanji akan tampilkan lakonan terbaik nanti,” katanya yang pernah membintangi bangsawan 12 Gayung Fatani, Tun Teja, Burung Tiong Seri Gading, Raden Galoh dan Satria Menara Putih.

Publish date: 
Friday, September 12, 2014