Guru dinobat juara Pantun 1Malaysia

Mustami Abdul (tengah ) diapit Zairin Alias (kanan) Md. Mazri Malik bersama hadiah masing-masing di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Mac - Seorang guru dari Kuala Kelawang, Negeri Sembilan, Mustami Abdul dinobatkan sebagai juara pertandingan mencipta Pantun 1Malaysia anjuran stesen radio Klasik Nasional dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).


Dengan kejuaraan itu, Mustami berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 serta sijil dan cenderahati.

 

Naib juara dan tempat ketiga dimenangi oleh Zairin Alias dari Kampung Air Paabas, Melaka dan Md. Mazri Malik dari Salak Tinggi, Selangor.

 

Kemenangan itu melayakkan mereka masing-masing menerima wang tunai RM2,000 dan RM1,000 beserta sijil dan cenderahati.

 

Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli berkata, pertandingan sejak 1 Mac hingga 31 Mei tahun lalu bertujuan memperjuangkan seni pantun agar ia menjadi amalan yang sentiasa subur dalam masyarakat khususnya di kalangan golongan muda.

 

"Pertandingan ini juga menjadi landasan terbaik dalam menterjemahkan konsep 1Malaysia secara berpantun," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian hadiah Pertandingan Pantun 1Malaysia di sini hari ini.

 

Pertandingan pantun 1Malaysia terbuka kepada semua warganegara dalam usaha menghidupkan semula budaya pantun di kalangan masyarakat di negara ini dan ia kali pertama diadakan pada 2009.

 

Norliza menambah, peserta pertandingan diminta mencipta pantun dengan menggunakan bahasa indah serta rima yang kemas bertemakan Seni Pusaka Bangsa.

 

Pada majlis berkenaan juga, dilancarkan buku poket himpunan pantun-pantun 1Malaysia hasil penyertaan peserta pada pertandingan 2009 dan 2010.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, March 29, 2011