Guru Bahasa Melayu menang cipta pantun 1Malaysia

MUSTAMI bersama hadiah dimenangi pertandingan Cipta Pantun 1Malaysia di Rex Box Pavillion, semalam.

 

KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu, paling tepat menghuraikan kejayaan guru bahasa Melayu, Mustami Abdul, 48, dari Kuala Kelawang yang muncul johan Pertandingan Cipta Pantun 1Malaysia 2010 dan melayakkannya membawa pulang wang tunai RM3,000.

Pantun Mustami yang menepati tema Seni Budaya Pusaka Bangsa memikat hati juri berjaya menewaskan 600 penyertaan berbilang kaum yang diterima penganjur pertandingan, Jabatan Penyiaran Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta stesen radio Klasik Nasional.

 

Mustami berkata, beliau sudah biasa mencipta pantun dan sehingga kini koleksi pantunnya mencecah angka ribuan, lalu pertandingan seumpama itu membuka peluang kepadanya mengikut tema yang dikehendaki penganjur.

 

“Jadi bila ada pertandingan seumpama ini, saya mengubahsuai sedikit pantun sedia ada mengikut tema dikehendaki selain banyak membaca bahan yang berkaitan bagi mendapatkan idea,” katanya yang juga jurulatih pasukan pantun di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Undang Musa, Jelebu.

Sementara itu, Zairin Alias dari Melaka muncul pemenang kedua dan beliau berjaya membawa pulang wang tunai RM2,000 manakala tempat ketiga Md Mazri Malik dari Selangor menerima RM1,000 serta tujuh pemenang sagu hati membawa pulang RM500 setiap seorang.

Pemangku Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Norhayati Ismail berkata, pertandingan itu bertujuan mengangkat seni dan budaya tanah air ke tahap lebih tinggi, di samping menyemarakkan semangat kekitaan serta memperkasakan jati diri di kalangan rakyat Malaysia.

“Kami juga mahu menggalakkan orang ramai khususnya pendengar untuk sama-sama menyokong hasrat merakyatkan seni budaya dengan memberi mesej besar kepada pendengar lain,” katanya pada majlis yang turut dihadiri Pengurus Klasik Nasional, Chuari Selamat.

Akhbar: 
Berita Harian
Publish date: 
Tuesday, March 29, 2011