Gelaran Datuk ekspres

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Jabatan Peguam Negara diminta memutuskan sama ada ‘pembelian’ gelaran seperti Datuk dari luar negara atau ijazah doktor falsafah (PhD) ‘secara ekspres’ merupakan perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kegiatan membeli gelaran sosial semakin serius dan jika tidak ditangani, akan melahirkan satu generasi ‘ilmuwan palsu’.

Menurutnya, agensi kerajaan yang berkenaan perlu menilai dan merumuskan juga kaedah untuk menghalang perbuatan membeli gelaran sosial yang semakin menjadi-jadi.

Beliau memberitahu, pihak-pihak yang menggunakan gelaran palsu berkenaan harus disiasat dengan segera kerana mereka boleh ditafsir melakukan satu bentuk penipuan kepada masyarakat.

Tambahnya, perbuatan membeli gelaran sosial di negara ini sudah di tahap yang agak keterlaluan dan menjadikan budaya menipu di tahap paling tinggi serta memudaratkan masyarakat.

“Ada pemimpin muda memiliki ijazah PhD belian dan tidak diiktiraf, ini sangat serius, saya cadangkan mereka disiasat, perbuatan ini disifatkan menipu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Malah, Rais berkata, sesetengah ahli masyarakat yang berstatus pemimpin juga dikesan membeli ‘PhD ekspres’.

Katanya, selain PhD, gelaran sosial lain seperti Datuk dan Datuk Seri boleh dibeli dari luar dengan mudah.

“Cuma Tan Sri yang belum ‘dikilangkan’ lagi,” katanya.

Kata beliau, budaya membeli gelaran sosial sudah berlarutan hampir satu dekad dan pembelian dari luar adalah lanjutan daripada sikap menjual gelaran yang sama di dalam negara.

“Semasa di Jabatan Perdana Menteri dahulu saya pernah tegur beberapa negeri, apabila dikaitkan dengan kuasa-kuasa luar Malaysia, ini adalah lanjutan kepada amalan terdahulu,” katanya.

Jelasnya, ada individu yang boleh menjadi Datuk secara tiba-tiba atau umpama dalam sekelip mata.

“Dahulu gelaran istana diberikan kepada yang berjasa kepada raja dan negara, sekarang nilai-nilai itu sudah berubah menjadi nilai buruk, gelaran-gelaran penting menjadi bahan dagangan,” katanya.

Kata beliau, seorang yang membawa gelaran Dr. dalam namanya melalui Phd sepatutnya seorang yang berilmu dan membuat pencapaian tinggi.

“Kecuali undang-undang berkaitan menyamar dapat digunakan, maka perkara ini (pembelian gelaran sosial) memerlukan satu pendekatan drastik untuk ditangani,” katanya.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Tuesday, September 29, 2009