Gah berdendang

Persembahan dondang sayang yang berlangsung selama dua malam pada 27 dan 28 Mac lalu menjadi bukti kesungguhan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) membawa tarian ini mendekati khalayak ramai terutamanya golongan muda dan pelancong asing.

Persembahan yang mengandungi unsur muzik dan nyanyian tradisional Melayu berbentuk pantun yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melaka ini gah ‘berdendang’ di sebuah lokasi menarik di ibu kota.

Gabungan kumpulan Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan tiga generasi dondang sayang Melaka iaitu Pak Abas Katan dan Halimah Daud; Generasi Muda, Siti Halijah Dollah dan penyanyi Dondang Sayang Cilik, Afis dan Bihah berjaya memberi persembahan menghiburkan penonton yang hadir.

Pak Abas, Tokoh Dondang Sayang Melaka bekerjasama dengan JKKN Melaka dalam program perantisan bagi memelihara seni persembahan tradisi kita daripada pupus. Dari sinilah lahir Siti Halijah serta Afis dan Bihah yang menjadi penerus legasi dondang sayang Melaka.

Penonton yang hadir dapat menikmati keindahan persembahan nyanyian berkonsep bait-bait pantun berkait dan berikat serta diiringi alunan muzik tradisional.

Mereka juga dapat mengenali karakter yang ada dalam sesebuah persembahan dondang sayang iaitu pencerita (narrator) yang sinonim dengan panggilan Bibik Melaka.

Hampir 50 tahun bergelumang dengan dondang sayang, Pak Abas sudah mahir dengan seni persembahan yang dikenali mempunyai elemen usik mengusik secara spontan ini. Keunikan ini jarang dapat disaksikan dalam persembahan lain.

Selain lagu tema Dondang Sayang, penonton yang hadir juga disajikan dengan persembahan tarian popular negeri Melaka seperti Suriram Gadis Melaka (Tarian Melayu), Inang Cina (Tarian Baba & Nyonya), Ding Giriding Gale (Tarian Chetti) dan Jingli Nona (Tarian Portugis).

Sebelum menutup tirai, penonton dijemput naik ke atas pentas untuk sama-sama menari tarian Joget Lambak, sekali gus menjadi satu pengalaman manis yang sukar dilupakan.

Paling penting, mereka yang hadir sudah memahami apa itu dondang sayang. Golongan penonton cilik juga turut dibawa menonton oleh ibu bapa dan ia tentunya satu pengalaman baru yang menarik dalam hidup mereka.

Ditemui selepas persembahan, Pak Abas menyatakan hasrat seni warisan ini akan terus dipelihara oleh generasi muda masa kini agar tidak pupus.

“Saya berharap usaha JKKN dalam memulihara seni warisan ini turut menjadi ikutan NGO dan badan korporat lain. Tentunya saya berbangga apabila dapat beraksi dalam persembahan ini.

“Ia bagaikan meraikan semula dondang sayang dan mengangkat martabatnya, sekali gus mempopularkannya ke seluruh negara.

Kalau boleh, biarlah tiap-tiap tahun ada NGO atau badan korporat lain melakukan persembahan seumpama ini supaya dapat memperkenalkan budaya yang hampir-hampir pupus ini,” katanya.

Menurutnya lagi, generasi muda perlu mencuba nasib menyertai dondang sayang supaya ia dapat

diteruskan dan diperkembangkan lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 5:17 AM

PENARI kumpulan Kesenian dan Kebudayaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah turut mengadakan persembahan.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/41734#sthash.cEsozOZb.dpuf

Author: 
Ridzuan Abdul Rahman
Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, April 6, 2015