Festival Muzik Kuala Lumpur Tampil Dikir Barat Pelbagai Genre

KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- Festival Muzik Kuala Lumpur (FMKL) 2012 akan membuat kelainan dengan menampilkan elemen tradisional Dikir Barat yang dieksperimentasi dan digabung bersama muzik pelbagai genre.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli berkata antara eksperimentasi itu termasuk Dikir Blues, Dikir Reggae, Dikir Rock, Dikir Indie dan Dikir Hip Hop, yang akan membuka tirai FMKL 2012.

Beliau berkata bagi tahun ini, FMKL mengorak langkah dengan memperkenalkan konsep tradisional kepada eksperimental sesuai dengan Dasar Industri Kreatif Negara untuk memperkayakan pelbagai khazanah seni di Malaysia.

"Buat julung kalinya, kita akan menggabungkan kesenian tradisional yang popular di Pantai Timur iaitu Dikir Barat bersama pelbagai genre muzik tanpa meminggirkan elemen penting Dikir Barat yang mendasari keseluruhan persembahan," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

FMKL 2012, yang masuk tahun kelapan, dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dengan kerjasama Istana Budaya, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan serta Karyawan.

-- BERNAMA

Akhbar: 
BERNAMA
Publish date: 
Friday, June 1, 2012