Festival Gong majukan industri pelancongan

Festival Gong Sarawak 2011 yang berlangsung di Pusat Redeems Kampung Apar, Bau dekat sini berpotensi menjadi acara penting dalam membangunkan industri pelancongan di kawasan itu.

 

Menteri Pelancongan negeri, Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, festival itu merupakan program kesenian yang unik serta memiliki keistimewaan tersendiri kerana lain daripada yang lain.

 

"Justeru, ia perlu dijadikan acara tahunan dengan promosi yang lebih agresif untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa bertandang ke Bau dan menyaksikan festival itu," katanya dalam ucapan pada majlis perasmian festival tersebut di sini semalam.

 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Pelancongan (Acara Tempatan dan Produk) negeri, Datuk Gramong Juna.

 

Festival itu yang julung kali diadakan di negeri ini dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sarawak dengan kerjasama Kementerian Pelancongan.

 

Sebanyak 13 kumpulan dari seluruh negeri, Brunei dan Indonesia mengambil bahagian dalam festival yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lalu.

 

Sementara itu, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang Gandum ketika berucap berkata, penganjuran Festival Gong Sarawak bertujuan meningkatkan kefahaman orang ramai mengenai seni budaya berasaskan peralatan gong.

Akhbar: 
Utusan Malaysia
Publish date: 
Monday, November 21, 2011