Festari 2015: Pertaruh selebriti popular

  • Festari 2015: Pertaruh selebriti popular
 1 / 1 

PERCAYA golongan selebriti mempunyai pengaruh tersendiri, Festival Tari Malaysia (Festari) bagi edisi 2015 akan diserikan dengan penglibatan lima artis popular tanah air.

Meskipun begitu, pembabitan mereka bukanlah sebagai pencabar sebaliknya penyeri segmen persembahan bagi menobatkan pemenang Festari 2015.

Bukan itu saja, acara kali ini turut memberi penekanan pada genre tradisional dan pelaksanaannya sedikit berbeza jika dibandingkan dengan penganjuran dua tahun lalu.

Umum mengetahui, tarian tradisi mahupun etnik melambangkan warisan bangsa dan identiti sesebuah negara.

Rutin dalam gerak tarinya dipersembahkan bukan kosong, tetapi ada isinya iaitu menceritakan sifat majmuk masyarakat, cara hidup sesebuah kaum termasuk pakaian, makanan, adat resam dan seni. Maka, atas sebab ini, pentingnya tarian tradisi ini untuk terus dipelihara.

Bakal dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Festari 2015 akan bermula dari 4 hingga 6 Jun ini di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, jam 8.30 malam.

Bagi mengulasnya dengan lebih lanjut, Zass mendapatkan Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli menerusi satu sidang media yang disusun, baru-baru ini.

Apakah objektif utama Festari 2015?

Matlamat utamanya adalah untuk menyediakan ruang dan kemudahan kepada penggiat seni tari untuk berkarya yang mana koreografer dan penari boleh menunjukkan kreativiti dengan mempamerkan kualiti seni tari yang bermutu tinggi, mantap dan kreatif selaras dengan nilai-nilai keperibadian kebangsaan.

Selain itu, ia juga dapat menyemarakkan dan melahirkan rasa kecintaan pada tarian bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembangkan warisan budaya bangsa.

Bahkan, salah satu objektifnya juga adalah untuk menjadikan kesenian sebagai satu pengisian kepada industri pelancongan negara.

Siapakah dan mengapakah golongan selebriti ini dipilih?

Bagi Festari 2015, ia akan diserikan dengan penglibatan lima selebriti wanita popular iaitu pelakon, penyanyi dan peragawati terkenal seperti Vanidah Imran, Adeline Tsen, Maya Matahari, Shiha Zikir (Mentor) dan Zahnita Wilson.

Sebelum membuat persembahan, mereka akan menjalani latihan ‘Masterclass’ yang bakal dikendalikan oleh koreografer dan jurulatih dari JKKN

Golongan selebriti ini akan ditampilkan di acara kemuncak iaitu pada 6 Jun kerana JKKN bersama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan percaya mereka mempunyai pengaruh tersendiri terhadap peminat dan masyarakat sekali gus dapat menarik lebih ramai pengikut festival yang sememangnya sudah memiliki kelompok penggemar setianya.

Bagaimanapun, pembabitan mereka bukanlah sebagai pencabar sebaliknya penyeri segmen persembahan bagi menobatkan pemenang-pemenang Festari 2015.

Setiap selebriti yang terbabit akan membuat persembahan solo selama seminit secara bergilir-gilir sebelum bergandingan untuk persembahan berkumpulan, yang semestinya menjadikan ia sebagai acara penutup yang paling dinanti-nantikan sebagai daya tarikan di Festari kali ini.

Pada masa sama, JKKN juga mengharapkan agar selepas ini lebih ramai golongan selebriti mengambil peluang ini bagi mendalami seni persembahan khususnya yang bersifat tradisional mahupun kontemporari dalam ruang lingkup seni pentas.

Kelima-lima mereka merupakan antara selebriti perintis dalam menjayakan hasrat ini. Malah, JKKN melihat ini adalah sebagai salah satu peluang kepada karyawan dunia seni tanah air untuk memecahkan tradisi ini.

Dua tahun lalu, Festari 2013 turut membawakan genre moden, tetapi mengapa kali ini sekadar memberi tumpuan pada genre tradisional saja?

Hasil daripada maklum balas terhadap Festari 2013, kita di JKKN mendapati khalayak mengharapkan untuk lebih berfokus kepada genre tradisional.

Jadi, kali ini, JKKN menyahut seruan itu dan hanya memberi penekanan pada genre tradisional serta pelaksanaannya juga sedikit berbeza.

Malah, ia akan dipecahkan kepada dua kategori iaitu Kategori Tarian Tradisional Daerah dan Kategori Tarian Rampaian Tradisional.

Kategori Tarian Tradisional Daerah memberi penekanan pada tarian daerah negeri yang diwakili peserta, kecuali negeri yang tidak mempunyai tarian daerah dibenarkan untuk mempersembahkan salah satu tarian daerah yang terdapat di negara ini.

Skop tarian tradisi adalah seperti tarian etnik Sabah dan Sarawak, Tarian Dabus negeri Perak, Tarian Piring Negeri Sembilan dan sebagainya.

Bagi peringkat separuh akhir dan peringkat akhir, durasi persembahan yang diperuntukkan adalah sepanjang empat hingga lima minit.

Bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional pula lebih kepada skop tarian tradisi seperti Joget, Zapin, Inang dan Asli.

Bagi peringkat separuh akhir kategori ini mestilah menghimpunkan persembahan gabungan yang tidak kurang daripada dua tarian sekitar lima ke tujuh minit. Bagi peringkat akhir, hanya satu tarian dipilih antara Joget, Zapin, Inang dan Asli untuk durasi persembahan tiga ke lima minit.

Bagaimana penglibatan peserta?

Secara keseluruhannya, Festari 2015 membabitkan lapan penyertaan yang terbaik dari seluruh negara selepas menjalani sesi pemilihan melalui Manifestasi Tari di peringkat zon sepanjang April lalu dan telah dipilih oleh panel juri yang dilantik.

Setiap kumpulan yang bertanding dikehendaki menyediakan dua koreografi bagi menjalani peringkat separuh akhir dan akan mempersembahkan koreografi yang kedua setelah berjaya ke peringkat akhir.

Lapan kumpulan peserta yang berentap ialah Rentak, Selangor, Kumpulan Kesenian Pewaris, Terengganu, Nyala Dance Theatre, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Le’Waris UMK, Kelantan, Sanggar Budaya Miri, Sarawak, Badan Kesenian Tentera Laut, Perak, Kumpulan Tari Aliff, Johor dan Petra Tari SMIP, Kelantan.

Pertandingan bagi kategori Tarian Rampaian Tradisional akan diadakan pada 4 Jun mulai jam 8.30 malam manakala kategori Tarian Tradisional Daerah akan diadakan pada keesokannya mulai jam 8.30 malam.

Bagi pertandingan akhir akan dilaksanakan pada 6 Jun, jam 8.30 malam, yang mana bakal menyaksikan pertembungan lapan kumpulan semuanya merangkumi empat kumpulan bagi Kategori Tarian Rampaian Tradisional manakala empat lagi mewakili Kategori Tarian Tradisional Daerah.

Harapan terhadap Festari 2015?

Diharapkan usaha dilakukan JKKN ini dapat mendidik masyarakat terutamanya generasi muda supaya lebih menghargai seni tarian tradisional tempatan sekali gus menggalakkan karyawan seni tempatan untuk terus berkarya dan bereksperimen di samping membantu memberi nilai tambah terhadap penciptaan kreativiti sejajar arus pemodenan dunia.

Orang ramai dijemput hadir untuk  menyaksikan dan meraikan karya tari oleh penari amatur negara ini secara percuma dan mereka boleh berkongsi pandangan serta maklum balas dengan melayari fanpage Facebook mysenibudaya atau www.jkkn.gov.my untuk keterangan lanjut.

 

Author: 
Norhidayyu Zainal
Akhbar: 
Sinar Harian
Publish date: 
Monday, June 1, 2015