Fauziah warisi kehebatan datuk

Kuala Lumpur: Seni muzik tradisional seperti tidak hanya dikuasai lelaki saja kerana turut menarik minat wanita untuk menceburi bidang berkenaan secara aktif, sekali gus mampu mencipta nama di peringkat antarabangsa.

Gambus yang diketahui mampu menghasilkan alunan muzik menghibur dan menenangkan jiwa sebenarnya mudah untuk dipelajari oleh semua peringkat masyarakat tidak mengira kaum serta jantina.

 

Berikutan minat mendalam untuk belajar bermain gambus, Puteri Gambus Negara Fauziah Suhaili sanggup menyamar sebagai lelaki hanya kerana mahu ‘rahsia’ dia bermain alatan tradisional itu tidak terbongkar.

Malah, minat terhadap alatan muzik tradisional itu menyebabkan dia sanggup menyertai pertandingan sebelum dia dinobat sebagai juara sehingga mengejutkan ahli keluarga terutama datuknya.

Menceritakan kembali pembabitannya, gadis berusia 26 tahun itu dibesarkan dalam keluarga yang aktif bermain alat muzik tradisional, malah sejak kecil sudah minat bermain gambus selepas melihat aksi datuknya yang juga seorang pemain gambus profesional.

“Datuk melarang untuk bergiat aktif dalam muzik tradisional, namun saya tetap berdegil dan dalam diam belajar sendiri cara bermain gambus dengan beberapa individu yang berbakat dalam bidang terbabit.

“Dari kecil saya sudah terbiasa dengan permainan alat muzik tradisional. Saya minat bermain gambus kerana mahu menjadi seperti datuk saya yang juga seorang pemain gambus tetapi dia marah sebab mungkin ketika itu tiada lagi pemain gambus dalam kalangan perempuan.

“Sehingga pada 2003, saya secara senyap menyertai satu pertandingan gambus di kampung di Sabah. Pada masa itu, semua peserta lelaki kecuali saya seorang perempuan dan terpaksa menyamar dengan pakaian lelaki,” katanya.

Usaha Fauziah yang tidak pernah kenal erti penat dan jemu akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan muzik tradisional peringkat negeri di Sabah.

“Ketika naik ke pentas untuk mengambil hadiah, ketika itu datuk saya nampak saya dan dia juga naik ke pentas sambil berkata, ini cucu saya,” katanya.

Anak kelahiran Bongawan, Sabah ini berpeluang meluaskan bakatnya apabila diketengahkan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) sejak 2005. Sehingga kini, dia berjaya bergelar seorang pemain gambus wanita yang bukan saja memainkan lagu tradisional tetapi lagu moden sambil menyanyi.

Graduan Diploma Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (ASWARA) ini pernah menimba pengalaman membuat persembahan anjuran JKKN di London pada 2010 dan sering diundang ke Indonesia, Brunei, Singapura dan China.

Fauziah mengakui bukan mudah untuknya membina nama sebagai pemain gambus kerana alat muzik irama tradisional seringkali sukar untuk mendapat perhatian ramai berbanding alat muzik moden.

Malah, sebagai seorang pemain gambus, dia juga berdepan cabaran untuk memberikan persembahan terbaik tanpa cacat cela menerusi petikan gambusnya.

“Main gambus tidak semudah kita main gitar. Gambus ini kalau kita tidak peka atau salah nota sewaktu memetiknya, ia akan berbunyi sumbang. Kalau buat persembahan, perkara paling saya takut apabila masalah teknikal dan saya tidak mendengar monitor dan itu boleh membuatkan petikan gambus saya sumbang.

“Selain itu, gambus mempunyai pelbagai jenis dan jika saya mendendangkan lagu tradisional, saya gemar menggunakan gambus yang boleh ‘tune’ untuk irama tradisional.

“Jika lagu moden, saya harus tukar gambus yang lain pula tetapi saya mempunyai gambus yang boleh main semua jenis lagu,” katanya.

Menjadikan Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad sebagai idolanya, Fauziah juga berkebolehan bermain gitar, biola dan arkodian.

Setakat ini, dia mempunyai 19 koleksi gambus dan gambus paling mahal yang dimilikinya ialah Golden Oud berharga RM7,000 yang dibeli khas dari Kanada.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/100048#sthash.1Yak9ITM.dpuf

Akhbar: 
Harian Metro
Publish date: 
Monday, December 14, 2015