Fauziah Suhaili tarik perhatian anak muda dengan gambus

KUALA LUMPUR: Seringkali muzik tradisional dikaitkan dengan generasi lama, orang muda kurang minat, tidaktrendy, itu yang selalu didengar.



Namun berbeza dengan gadis, asal Sabah, Fauziah Suhaili, 26, ketika gadis lain memilih gitar untuk dilihat seperti Yuna, dia tampil dengan alat muzik gambus. Mewakili golongan muda merupakan peluang untuk berkongsi muzik tradisional pada generasi akan datang supaya mereka tidak lupa.



Kerana memilih gambus, nama alat muzik itu melekat pada namanya, namun Fauzih tidak kisah, apa yang diharapkan muzik dibawanya terus diterima ramai.



"Saya sedar sekarang ini terlalu banyak genre muzik. Tidak dinafikan juga muzik indipendent semakin mendapat perhatian.



"Namun begitu, jiwa saya yang begitu kuat dengan muzik gambus membuatkan saya akan terus dengan muzik ini. Malah, saya akan berusaha menarik perhatian anak muda sekarang untuk sama-sama menghayati muzik gambus.



"Saya yakin setiap orang punya cita rasa sendiri terhadap muzik dan muzik gambus pasti ada peminatnya juga dan kerana itulah saya bertahan dengan muzik ini sehingga kini," katanya yang baru muncul dengan album kedua bertajuk Hanya Satu Fauziah Suhaili Puteri Gambus.



Selepas album keduanya terhasil, Fauziah turut terharu apabila lagu Zapin Seloka Kasih yang terdapat di dalam album ini terpilih antara lima lagu terbaik untuk kategori Pop Etnik Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 21 (AIM21).



Album ini merupakan satu penerbitan di bawah pelan tindakan di bawah Program Pemangkin Jangka Pendek Seni Persembahan bagi membangunkan kandungan tempatan yang berkualiti mempunyai kebolehupayaan membangunkan industri kreatif yang berdaya maju ke peringkat global.



Program Pemangkin Jangka Pendek Seni merupakan program di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), sebuah jabatan di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.



Mengulas mengenai album keduanya yang memuatkan 11 lagu itu, Fauziah berkata, untuk album ini dia memilih pelbagai jenis genre yang menggabungkan elemen gambus.



Padanya, dengan cara ini saja boleh membuatkan orang ramai lebih tertarik untuk mendengar.



"Saya sedar muzik tradisional agak sukar mendapat tempat dalam kalangan peminat sekarang ini. Oleh itu, saya harus bijak mengatur strategi dan cara mencampurkan pelbagai muzik di dalam album ini adalah yang terbaik dan menarik.



"Lagi pun saya lihat sekarang ini orang lebih tertarik dengan jenis muzik yang menerapkan pelbagai elemen. Ini juga supaya dapat menarik perhatian anak muda untuk mendengar muzik tradisional dalam rentak yang lebih segar dan enak didengar.



"Saya juga bersyukur JKKN turut memberi kerjasama dalam penghasilan album kedua ini dan ini lebih memudahkan usaha saya dalam memartabatkan muzik gambus," katanya.
 
Akhbar: 
Astro Awani
Publish date: 
Friday, January 23, 2015