Fauziah Suhaili Menyamar Lelaki Untuk Capai Impian

Puteri Gambus Negara, Fauziah Suhaili mengaku pernah menyamar menjadi lelaki gara-gara tidak mahu datuknya mengetahui dia bermain gambus apatah lagi menyertai pertandingan alat muzik tradisional itu.

Namun, segalanya terbongkar apabila dia dinobat sebagai juara pertandingan berkenaan.

Cerita gadis berusia 26 tahun ini, dia dibesarkan dalam keluarga yang aktif bermain alat muzik tradisional. Sejak kecil dia sudah minat bermain gambus kerana melihat datuknya yang juga seorang pemain gambus profesional tetapi datuknya menghalangnya meneruskan minat itu.

Bagaimanpun, dia berdegil dan dalam diam belajar sendiri cara bermain gambus.

"Dari kecil saya sudah terbiasa dengan permainan alat muzik tradisional. Saya minat bermain gambus kerana mahu menjadi seperti datuk saya yang merupakan seorang pemain gambus tetapi dia marah sebab mungkin ketika itu tiada lagi pemain gambus dalam kalangan perempuan.

"Sungguhpun datuk menghalang tetapi saya berdegil. Tanpa pengetahuannya, saya belajar bermain gambus dengan melihat caranya bermain dan kemudian saya mencuba sendiri.

"Sehingga pada tahun 2003, saya secara senyap menyertai satu pertandingan gambus di kampung saya di Sabah. Pada masa itu, kesemua peserta lelaki kecuali saya seorang perempuan dan saya menyamar dengan pakaian lelaki.

"Tidak sangka pula, saya dipilih sebagai juara. Semasa naik ke pentas untuk mengambil hadiah, ketika itu datuk saya nampak saya dan dia juga naik ke pentas sambil berkata, ini cucu saya.

"Semenjak itu dia tidak marah lagi sebaliknya, dia mula melatih saya bermain gambus," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya, Hanya Satu Fauziah Suhaili Puteri Gambus di Kuala Lumpur, semalam.

Anak kelahiran Bongawan, Sabah ini berpeluang meluaskan bakatnya apabila diketengahkan Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) sejak tahun 2005 sehingga kini dia berjaya bergelar seorang pemain gambus wanita yang bukan saja memainkan lagu tradisional tetapi lagu moden sambil menyanyi.

Graduan Diploma Muzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) ini pernah menimba pengalaman membuat persembahan anjuran JKKN di London pada tahun 2010 dan sering diundang ke Riau Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, dan China.

Tampil dengan album kedua, uniknya album kali ini bukan saja menampilkan lagu tradisional termasuk pelbagai genre lain seperti pop, rock dan balada.

Katanya, irama tradisional dan moden digabungkan sebagai menarik minat generasi muda untuk mendengar lagu moden yang dihasilkan menerusi alunan alat muzik tradisional.

Antaranya, Kau Curangi Aku, Pemergian Ayah Ibu, Zapin Seloka Kasih, Indah, Gilakan Kamu, 'Flying Bird', 'The Minute You're Gone' dan Hanya Untuk Mu.

"Album saya yang pertama dilancarkan di Sabah dan Brunei sekitar tahun 2007 kerana semua lagu dalam album itu adalah lagu tradisional dan lagipun album itu dalam bahasa Melayu Brunei.

"Namun, lagu dalam album ini adalah kebanyakan ditulis saya sendiri dan juga mengunakan khidmat beberapa komposer lain seperti AG Coco, Ismail Matusin dan The Piratez II.

"Saya berharap album ini dapat menarik minat generasi muda untuk mendengar lagu tradisional dan juga alunan muzik tradisional ke dalam lagu moden," katanya yang sudah tujuh tahun bermain gambus secara serius dan profesional.

Dalam pada itu, Fauziah mengakui bukan senang untuknya membina nama sebagai pemain gambus kerana alat muzik irama tradisional seringkali sukar untuk mendapat perhatian ramai berbanding alat muzik moden.

Malah, sebagai seorang pemain gambus dia juga berdepan dengan cabaran untuk memberikan persembahan terbaik tanpa ada cacat cela menerusi petikan gambusnya.

"Main gambus tidak semudah kita main gitar. Gambus ni kalau kita tidak peka atau salah 'note' sewaktu memetiknya, ia akan berbunyi sumbang. Kalau buat persembahan perkara paling saya takut apabila masalah teknikal dan saya tidak mendengar monitor dan itu boleh membuatkan petikan gambus saya sumbang.

"Selain itu, gambus mempunyai pelbagai jenis dan jika saya mendendangkan lagu tradisional, saya gemar menggunakan gambus yang boleh 'tune' untuk irama tradisional.

"Jika lagu moden, saya harus tukar gambus yang lain pula tetapi saya mempunyai gambus yang boleh main semua jenis lagu," katanya.

Menjadikan Raja Gambus Malaysia, Allahyarham Fadzil Ahmad sebagai idolanya, Fauziah juga berkebolehan bermain gitar, violin dan arkodian.

Setakat ini, dia mempunyai sebanyak 19 koleksi gambus dan gambus paling mahal yang dimilikinya ialah gambus bernama Golden Oud berharga RM7,000 yang dibeli khas dari Kanada.

-mD

 
Akhbar: 
Malaysian Digest
Publish date: 
Friday, January 23, 2015